KETIKA ini, skuad kebangsaan sedang mengadakan latihan berpusat di Qatar menjelang aksi pembukaan Piala Asia 2023 berdepan Jordan pada 16 Januari nanti.
Selain itu, tumpuan sebaik mungkin pastinya diharapkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon apabila pasukan negara akan menghadapi satu aksi persahabatan berdepan Syria pada Isnin.
Meskipun tidak memberi kesan terhadap kedudukan Harimau Malaya dalam ranking FIFA, perlawanan berkenaan pastinya dianggap cukup penting dalam menentukan tahap kecergasan pemain.
Jadi, dalam memastikan kemenangan mampu diraih menentang negara Timur Tengah itu, Pan-gon pastinya memberikan anak-anak buahnya sesi latihan lebih mencabar di Qatar.
Perkara tersebut turut diakui bek kanan, Syahmi Safari yang mengakui tempo sedang ditingkatkan dalam misi pengendali dari Korea Selatan itu menyesuaikan pemain dalam situasi sebenar.
"Beberapa hari ini, kita berlatih dalam intensiti yang tinggi untuk menyesuaikan diri dengan perlawanan sebenar. Jadi, rasanya komitmen kami berada di tahap terbaik, 100 peratus. Ini untuk kebaikan rakan sepasukan juga kerana kita dapat tingkatkan momentum dalam pasukan itu sendiri," katanya.
Syahmi dipanggil untuk memberi pilihan buat Pan-gon dalam posisi bek kanan. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Bayangan line-up Harimau Malaya di Qatar sudah dicanang-canang
Syahmi diberikan kepercayaan untuk diletakkan dalam senarai 26 pemain ke Piala Asia 2023 setelah pertahanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad dilaporkan mengalami kecederaan.
Meskipun kehadirannya berkali-kali dikritik ramai, pemain berusia 25 tahun terbabit tidak mahu mengendahkannya dan mahu memberi sumbangan terbaik sekiranya diturunkan.
Dalam pada itu, bek kanan Johor Darul Ta'zim tersebut turut melihat pasukan negara masih mempunyai peluang dalam Kumpulan E meskipun mengetahui perbezaan antara satu sama lain.
"Kalau kita lihat kelebihan fizikal, ia memang berpihak kepada pasukan dari negara Arab ini. Tetapi, jika kita lihat kepada perlawanan kelayakan sebelum ini, pasukan negara pernah berdepan Bahrain dan kita boleh bersaing dengan mereka.
"Saya boleh katakan dua perlawanan awal ini adalah sangat penting untuk kita dapatkan mata semaksimum mungkin untuk kita layakkan diri ke pusingan seterusnya, tetapi kita masih perlu realistik," katanya.
Selepas aksi berdepan Jordan, Harimau Malaya bakal bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum aksi penutup Kumpulan E menentang Korea Selatan pada 25 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram