PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan senarai 26 pemain yang bakal menggalas cabaran negara ke Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung bermula 13 Januari 2024.
Kesemua 26 pemain itu adalah yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM sejak 26 Disember lalu sekali gus menyaksikan Pan-gon tidak membuat sebarang perubahan menjelang kejohanan berprestij itu.
Daripada 26 pemain yang dibawa, tiga merupakan penjaga gol, sembilan pemain pertahanan, enam pemain tengah dan lapan penyerang termasuk pemain naturalisasi terbaharu Romel Morales.
Malaysia, pasukan di ranking dunia ke-130 diundi dalam Kumpulan E bersama Jordan (87), Bahrain (86) dan juara dua kali Korea Selatan yang merupakan pasukan ke-23 dunia.
Senarai akhir 26 pemain Harimau Malaya.
Namun apa lebih menarik ialah dua pemain kebangsaan tersenarai antara 16 bintang paling berusia bagi kejohanan Piala Asia kali ini.
Info tersebut dikongsikan oleh @FootyRankings dalam media sosial apabila pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa dan Selangor FC, Brendan Gan berada dalam senarai itu.
Natxo berada di tempat ke-5 apabila dia tahun ini berusia 37 tahun manakala Brendan pula berada di tempat terakhir.
Pemain paling berusia ialah penjaga gol Thailand, Siwarak Tedsungnoen, 39, yang merupakan rakan sepasukan Dion Cools di Buriram United.
Antara pemain yang paling berusia di Piala Asia.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan saingan kumpulan menentang Jordan di Stadium Al Janoub pada 16 Januari, Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad 20 Januari dan aksi terakhir bertemu Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik.
Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.
Sebagai aksi pemanas badan, anak buah Pan Gon yang tiba di Doha seawal 1 Januari lepas dijadual bertemu Syira pada perlawanan persahabatan antarabangsa di sana pada 8 Januari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram