PEMAIN tengah naturalisasi Malaysia, Paulo Josue mengakui teruja dengan kelibat pemain tempatan terbaik pernah disaksikannya dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Josue yang sudah membuat lapan kemunculan antarabangsa untuk Harimau Malaya itu menyatakan kekagumannya terhadap bintang muda meningkat naik tanah air, Arif Aiman Hanapi.
Penyerang sayap Harimau Selatan itu menjadi tumpuan susulan prestasi luar biasa musim ini sehingga mendapat liputan dan penghargaan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Seringkali menjadi mangsa kepada kelincahan Arif Aiman dalam kancah tempatan, ketua pasukan Kuala Lumpur City itu berkongsi keterujaannya dapat beraksi di samping Pemain Paling Bernilai (MVP) yang cukup dikaguminya itu.
Arif Aiman yang baru berusia 21 tahun berkenaan juga dijangka menyinar dalam Piala Asia di Qatar dengan skuad bimbingan Kim Pan-gon akan memulakan kempen bertemu Jordan pada 16 Januari ini.
BACA LAGI: Bayangan line-up Harimau Malaya di Qatar sudah dicanang-canang
Josue antara pemain penting menggerakkan jentera tengah skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
"Dia pemain terbaik tempatan yang pernah disaksikan sepanjang lima tahun saya di sini.
"Di peringkat antarabangsa, prestasinya adalah sukar dipercayai dan segalanya menjadi buatnya.
"Dia tidak gentar untuk melakukan larian, menggelecek dan kami pula perlu cuba mengikuti idea pemain terbaik.
"Kehadiran saya ialah membantunya dan membentuk permainannya.
"Kesemua ini boleh dilakukan hasil gabungan pemain naturalisasi, warisan dan pemain tempatan," katanya.
Untuk rekod, arkitek kelahiran Brazil itu sudah menjaringkan empat gol dalam enam penampilan untuk Harimau Malaya sejak dia membuat penampilan sulung pasukan kebangsaan pada Mac tahun ini. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram