KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggunakan pemain naturalisasi dalam pasukan negara boleh diangkat sebagai salah satu faktor utama di sebalik kebangkitan prestasi mereka, lapor Stadium Astro.
Sistem yang mula diperkenalkan secara giat pada 2019 itu menyaksikan Harimau Malaya ketika ini diperkuatkan pemain yang melengkapi syarat bermastautin selama lima tahun dalam negara.
Meskipun pendekatan tersebut pada awalnya ditolak ramai, ia masih mempunyai manfaat tersendiri kerana mereka dapat meningkatkan mutu permainan secara keseluruhan.
Hasil daripada pendekatan terbabit dapat disaksikan ketika ini apabila skuad kebangsaan berada di kedudukan lebih baik dalam ranking FIFA selain layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama dalam 42 tahun.
Bagaimanapun, bagi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, projek tersebut pada awalnya boleh dianggap satu kegagalan sehingga memberi tekanan terhadap jawatannya dalam badan induk bola sepak negara itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Kerja sentiasa teliti, Hamidin kagum cara Pan-gon 'handle' Harimau Malaya
De Paula merupakan antara pemain naturalisasi yang tidak membawa impak positif. — Facebook/FAM
"Ketika saya mula memegang jawatan presiden pada 2018, salah satu manifesto saya adalah untuk memperkenalkan naturalisasi hingga sampai satu masa yang ditetapkan.
"Dipendekkan cerita, yang memiliki kontrak lima tahun berturut-turut ketika itu hanyalah Liridon dan (Guilherme) De Paula. Itu adalah antara sasaran saya kerana saya rasa jika kita ada mereka, perkembangannya akan menjadi lebih cepat tetapi saya boleh sifatkannya memang betul gagal," katanya.
Hamidin berkata demikian dalam satu rancangan temu bual Bola Itu Life siaran Astro Arena dengan beberapa topik hangat lain berkaitan arena bola sepak negara sempat dikupas.
Berdasarkan senarai 26 pemain untuk ke Piala Asia 2023, tiga daripadanya hadir dengan status naturalisasi, iaitu Mohamadou Sumareh, Paulo Josue dan yang terbaharu, Romel Morales.
Selain itu, Lee Tuck dan Sergio Aguero juga pernah beraksi buat Harimau Malaya selepas lima tahun beraksi dalam Liga Super, namun tidak dipanggil Kim Pan-gon untuk pertandingan kali ini.
Dalam pada itu, Hamidin turut menjelaskan bahawa terdapat cadangan untuk menamatkan projek berkenaan selepas dirasakan tidak membawa satu manfaat besar buat negara.
"Saya hanya mahu menyatakan kepada peminat, dah banyak kali saya nyatakan bahawa bola sepak kita sudah tertinggal jauh sangat dan kita mahu mempercepatkannya. Apabila De Paula dan Liridon gagal atas sebab-sebab tertentu, saya tahu kami mendapat kecaman dan saya terima pendapat semua orang.
"Dan di FAM, selepas mesyuarat jawatankuasa, kami membuat keputusan untuk menutup (projek naturalisasi) tetapi di peringkat kelab, saya tidak boleh tahan (proses naturalisasi) kerana pihak kelab ada hak (untuk menaturalisasikan pemain) -- selepas lima tahun dia (pemain) memohon pasport dan sudah boleh bermain (sebagai pemain tempatan)," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram