LANGKAH pengurangan kos operasi pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada musim depan masih menjadi tanda tanya ramai berhubung agenda tersembunyi ataupun serangan psikologi yang cuba dimainkan pengurusan kelab itu.
Ia susulan langkah awal JDT baru-baru ini yang pantas menyambar penyerang muda Terengganu FC, Azam Azmi sebagai pemain baharu pasukan itu menjelang musim 2024.
Namun, status pemain kelahiran Pulau Pinang itu sedikit mencurigakan selepas dia dikatakan akan kekal menyarung jersi Terengganu sebagai pemain pinjaman dari Harimau Selatan.
Khabar angin itu disahkan wartawan sukan tanah air, T Avineshwaran yang memuat naik ciapan di Twitter bahawa pemain Harimau Malaya itu akan menyertai pasukan juara Liga Super 10 kali berturut-turut berkenaan.
Ciapan Avinesh mengenai masa depan Azam Azmi bersama skuad Sang Penyu.
"Difahamkan bek sayap, Azam Azmi akan kekal bersama Terengganu, tetapi ia tidak terhenti di situ. Menurut sumber, pemain tersebut sudah menandatangani kontrak dengan JDT, tetapi akan kembali dipinjamkan," ciapnya.
Hangat diperkatakan dalam kalangan peminat bola sepak skuad Penyu, status pinjaman itu mengundang pelbagai persoalan berkaitan peranan yang cuba dimainkan JDT terhadap pemain tersebut.
Namun, untuk rekod, ia bukan satu perkara baharu dimainkan JDT memandangkan beberapa lagi pemain sebelum ini juga pernah dipinjamkan ke kelab lain selama beberapa musim.
Tindakan JDT yang gemar meminjamkan pemainnya ke kelab lain merupakan satu langkah positif memandangkan lambakan import yang terlalu memberikan saingan dalam kesebelasan utama pasukan itu.
Beberapa pemain lain misalnya Syafiq Ahmad juga sebelum ini pernah dipinjamkan ke Kedah FC selama semusim.
Mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad Sang Kenari, lebihan minit permainan antara perkara positif diperoleh penyerang kebangsaan itu berbanding di JDT yang kebanyakannya hanya memanaskan bangku simpanan.
BACA LAGI: Di sebalik gambar bersama pemilik Kedah, mesej di dada Syafiq Ahmad penuh bermakna
Kecemerlangannya di Kedah membuatkan JDT menamatkan kontraknya serta merta selepas Syafiq Ahmad dipanggil semula menyertai Harimau Selatan dalam tempoh enam bulan.
Sejak kembali bersama JDT, namanya semakin melonjak dan terus menyinar sehingga jaringannya tersenarai antara lima jaringan terbaik Harimau Selatan bagi musim 2023.
Syafiq ketika menyambut jaringannya semasa menentang Penang FC pada 28 Mei lalu. — Facebook/JDT
Antara jaringan yang tercalon adalah gol daripada pertahanan tengah, Jordi Amat ketika aksi menentang Penang FC; Bergson Da Silva (Sri Pahang FC); Juan Muniz (Kuching City FC).
Dua lagi jaringan adalah daripada Syafiq Ahmad ketika menentang Penang FC dalam aksi Piala FA pada 28 Mei lalu dan gol daripada Fernando Forestieri yang juga bekas pemain Watford yang pernah beraksi di Liga Inggeris semasa melawan Sri Pahang FC.
Liridon Krasniqi
Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi juga merupakan antara bahan 'eksperimen' JDT yang pernah dipinjamkan ke beberapa kelab dalam dan luar negara.
Aksinya yang kurang menyerlah di JDT membuatkan pengurusan kelab mengambil keputusan meminjamkan pemain kelahiran Kosovo itu ke tiga kelab asing berbeza iaitu Newcastle Jets liga Australia, Odisha FC (India) dan Khon Kae United (Thailand).
BACA LAGI: [VIDEO] 'No look pass' bukti Liridon Krasniqi masih belum berkarat
Kelebihan fizikalnya yang berbadan tegap membuatkan penampilannya sentiasa menjadi pilihan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dalam perlawanan di peringkat Asia mahupun persahabatan.
Sehingga kini, karier bola sepaknya masih terjamin dalam arena bola sepak tanah air meskipun kerap dipinjamkan ke pasukan-pasukan lain dek kerana kebijaksanaan JDT yang enggan mengsia-siakan kekuatan pemainnya.
Syazwan Andik
Bekas bek kiri pertahanan skuad Harimau Muda negara, Syazwan Andik juga antara bintang yang semakin menyinar sejak dipinjamkan ke Sri Pahang FC pada musim 2022.
Memiliki 21 penampilan dalam saingan Liga Super 2023, pengalaman serta tahap kecergasan pemain itu dimanfaatkan sepenuhnya di skuad Tok Gajah khususnya di benteng pertahanan pasukan.
Aksi memukaunya yag sentiasa menang dalam perebutan bola di udara dan gemar membantu jentera serangan membuatkan namanya semakin diingati dalam kancah bola sepak tanah air.
Untuk rekod, Syazwan Andik yang jug aboleh diturunkan di posisi bek sayap mula menyertai Sri Pahang secara pinjaman dari JDT bagi musim 2023 dan bersama JDT II sejak 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram