Di sebalik gambar bersama pemilik Kedah, mesej di dada Syafiq Ahmad penuh bermakna


  • Podium
  • Khamis, 05 Jan 2023

Daud Bakar memuat naik gambar beliau bersama bekas penyerang Sang Kenari itu pada Rabu, hari yang sama TMJ memuat naik InstaStory berhubung kehilangan nama Syafiq. — Facebook

PEMENANG Liga Super 2022, Johor Darul Takzim (JDT) secara rasminya mengumumkan Estaban Solari sebagai pengendali baharu Harimau Selatan bagi menghadapi saingan musim 2023.

Jurulatih berusia 42 tahun itu sebelum ini pernah bertugas sebagai pembantu jurulatih Argentina dan dengan pengalaman itu, Solari dianggap merupakan individu yang sesuai untuk menaikkan lagi pasukan Harimau Selatan.

Selain kedatangan pengendali baharu itu, kelab berpangkalan di Selatan tanah air itu juga tidak ketinggalan memberikan gambaran barisan pemain Harimau Selatan bagi saingan Liga Super musim ini.

Menerusi satu perkongsian dari satu perkongsian dibuat oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Rabu, baginda memuat naik nama-nama pemain Harimau Selatan dengan posisi masing-masing di Instagram Story miliknya.

Nama-nama regular JDT seperti Bergson da Silva, Fernando Forestieri, Corbin Ong, Natxo Insa, Leandro Velazquez, Arif Aiman, Shane Lowry, Jordi Amat, Shahrul Saad, Matthew Davis dan Farizal Marlias tersenarai dalam formasi tersebut.

TMJ

Perkongsian Tunku Ismail di Instagram Story pada Rabu.

Cuma berdasarkan senarai pemain itu, penyokong mulai tertanya-tanya mengenai ketiadaan nama Syafiq Ahmad dalam formasi itu sehingga mencetuskan spekulasi adakah penyerang tempatan tersebut tidak berada dalam perancangan JDT musim depan.

Malah, ketiadaan nama Syafiq juga membuatkan peminat mulai menimbulkan spekulasi mengenai mesej yang tertera pada baju pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Pada Rabu, pemegang saham terbesar, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memuat naik gambar beliau bersama bekas penyerang Sang Kenari itu.

Pada gambar itu menunjukkan Syafiq mengenakan pakaian berwarna kelabu dengan tulisan bertulis 'Elegance is not being noticed, its about being remembered'.

Tulisan tersebut dikatakan seperti menafsirkan perasaan pemain berusia 27 tahun itu yang menunjukkan bahawa KDA FC lebih mengingati jasanya daripada kelab lain.

WhatsApp Image 2023-01-05 at 13.01.27

Syafiq juga merupakan pemain Bawah-21 tahun (B-21) Kedah. — Instagram/Syafiq

Sebelum ini, Syafiq dipinjamkan kepada KDA FC dari JDT bagi membantu skuad Sang Kenari menempuh musim 2022, selain dia pernah menabur bakti di bumi jelapang padi pada musim 2015.

Walau apa juga spekulasi yang timbul mengenai baju Syafiq itu, mungkin ia hanyalah kebetulan sahaja dan tidak ada kena mengena dengan pasukan Harimau Selatan.

Hal ini kerana, dalam perkembangan terbaharu, Tunku Ismail kemudiannya memuat naik semula senarai pemain dalam formasi JDT yang kali ini mengandungi semula nama Syafiq berganding bersama Diogo Luis Santo tidak lama selepas InstaStory asal pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram