BAKAL membuat penampilan pertama bersama skuad Harimau Malaya di Kejohanan Piala Asia minggu depan, khidmat pemain naturalisasi, Romel Morales Ramírez dijangka menjadi sandaran utama peminat selaku peledak ke gawang lawan kelak.
Namun, dalam pada tumpuan penyokong yang semakin memuncak terhadap pemain KL City FC itu, timbul pula dakwaan serta persepsi sinis terhadap penyertaan Romel Morales ke dalam skuad Piala Asia kali ini.
Kedatangannya yang dianggap sebagai pendatang baharu dalam skuad Kim Pan-gon, secara tidak langsung mencetuskan spekulasi peminat berkaitan kualiti dan faktor mendorong dia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama kejohanan sebesar ini.
Baca Lagi: Proses naturalisasi tergendala? Ini pro-kontra jika Romel Morales sertai Selangor musim depan
Beberapa persoalan timbul dalam pemikiran peminat yang mula meragui persefahaman serta keserasian pemain itu bersama skuad sedia ada sekiranya diturunkan kelak.
Skuad Kim Pan-gon yang rata-ratanya dianggotai pemain dari Johor Darul Takzim (JDT) pastinya menjanjikan aksi menarik selepas beberapa kali menerima panggilan ke kem Harimau Malaya sebelum ini.
Berbeza dengan penyerang lain, pemain kelahiran Colombia itu digesa mendapatkan persefahaman terlebih dahulu bersama pemain lain yang nyata sudah lali dengan corak permainan masing-masing ketika di atas padang.
Skuad kebangsaan mula menjalani latihan di Qatar menjelang aksi pembukaan pada 15 Januari kelak. — FAM
Bertitik tolak dari situ, harapan penyokong kekal disandarkan kepada tiga barisan serangan utama negara yang sebelum ini pernah mencetuskan fenomena dalam kelayakan Piala Asia lalu.
Gandingan trio Faisal Halim, Arif Aiman dan Darren Lok selaku peledak negara meraih kepercayaan penyokong Harimau Malaya yang mahu menyaksikan ketiga-tiga individu itu diturunkan dalam perlawanan pembukaan menentang Jordan dan Bahrain nanti.
Tambahan lagi, Faisal sememangnya calon favourite yang sentiasa menjadi pilihan Pan-gon sehingga dia mendapat gelaran anak emas.
BACA LAGI: Ucap selamat tinggal KL City, bekas penyerang JDT 'approve' kehadiran Romel Morales
Taktikal menyerang Harimau Malaya seperti dipamerkan sebelum ini dijangka akan berterusan sekiranya gandingan sama diturunkan terlebih dahulu pada saingan peringkat kumpulan.
Tidak dinafikan, kehadiran Romel Morales juga sedikit sebanyak membawakan input dan kelebihan buat jurulatih yang pastinya memiliki lebih ramai pilihan pemain di jentera serangan pasukan.
Namun, pemilihan kesebelasan utama pemain kekal menjadi milik trio di atas seperti mana yang disuarakan penyokong Harimau Malaya di laman media.
Darren Lok mendapat kepercayaan peminat selaku penyerang utama skuad kebangsaan. — FAM
"Bagi aku Malaysia sangat berani sebab bawa Romel Morales, dia belum pernah debut dengan Malaysia tapi dibawa ke Piala Asia, harap dapat buktikan sesuatu nanti," kata Dilan Hizami.
"Kalau hebat macam mana pun, tak ada persefahaman dan keserasian baik tak akan menjadi, Morales itu baru saja diserap, Harimau Malaya nampak pemain yang betul serasi Arif Aiman, Faisal Halim dan Darren Lok, itu yang menjadi apabila menyerang," ujar Nik Hanis Ariffin.
"Trio utama pasukan kebangsaan tak boleh usik untuk perlawanan pembukaan nanti, Faisal Halim, Darren Lok dan Arif Aiman memang dah serasi, Morales mungkin boleh jadi simpanan buat pertukaran separuh masa kedua, dia baru lagi dalam skuad Kim Pan-gon," jelas Amir Hamzah.
Untuk rekod, pemain berusia 26 tahun itu diberi status naturalisasi selepas lebih lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) bersama tiga buah kelab iaitu PKNS FC, Melaka United dan KL City.
Merupakan antara penyerang termuda import yang beraksi dalam liga tempatan, Romel Morales boleh beraksi di posisi nombor 10 selaku perancang menerusi kelincahannya ketika membawa bola.
Sejak beraksi dalam Liga M, Romel sudah menjaringkan 35 gol dan 12 bantuan jaringan sejak setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram