SELEPAS sekian lama tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama Terengganu FC (TFC), Liridon Krasniqi membuktikan bahawa dia masih seorang pemain yang berkualiti.
Ini selepas pemain berusia 31 tahun itu berjaya menyumbangkan satu bantuan jaringan gol (assist) kepada Omid Nazari untuk menggegarkan gawang Sri Pahang FC pada Ahad.
Walaupun gagal membantu Terengganu membawa pulang tiga mata berharga, kecemerlangan Liridon dalam menggerakkan jentera tengah Sang Penyu wajar diberikan pujian.
Beraksi 90 minit atas padang, Liridon masih lagi mampu mempamerkan skil hantaran bola yang baik buat rakan sepasukan.
Seorang penyokong Terengganu dalam Facebook, Piang Shanky turut berkongsi video hantaran 'world class' daripada Liridon ke Nurillo Tukhtasinov yang hampir menghasilkan jaringan pada minit ke-23 permainan.
Namun selepas hantaran 'no look pass' itu gagal disudahi Nurrilo, Liridon sekali lagi memberi hantaran yang cantik menerusi sepakan penjuru untuk membolehkan Omid Nazari menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-25 permainan.
Musim ini, Liridon yang dipinjamkan dari Johor Darul Takzim (JDT) itu hanya beraksi dalam 23 penampilan bersama Terengganu dan menjaringkan dua gol serta dua 'assist'.
Sebelum ini, Liridon banyak menghabiskan kariernya di luar negara bersama Newcastle United Jets (Australia), Odisha FC (India) dan Khon Kaen United (Thailand) selepas bergelar pemain naturalisasi negara.
Kali terakhir beraksi bersama Harimau Malaya pada tahun lepas ketika berada dalam bangku simpanan menentang Hong Kong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram