Kembali ke KGNS selepas 17 tahun, Selangor Amateur Open tawar 5 hadiah hole-in-one


  • Podium
  • Rabu, 15 Nov 2023

Dua trofi yang menjadi rebutan dalam Selangor Amateur Open ke-48 di KGNS pada hujung bulan ini.

SERAMAI 128 pemain amatur dari dalam dan luar negara bakal berentap dalam kejohanan golf Selangor Amateur Open (SAO) ke-48 yang kembali diadakan di Kelab Golf Negara Subang (KGNS) selepas 17 tahun.

Kali terakhir kejohanan berprestij itu diadakan adalah pada 2006 yang menyaksikan pemain tempatan, Ainil Johani merangkul gelaran juara pada edisi tersebut.

Pertandingan kali ini akan diadakan selama tiga hari bermula 28 November sehingga 30 November dengan pusingan latihan akan berlangsung pada 27 November.

Antara peserta luar negara yang akan menyertai SAO ke-48 termasuk 11 dari Singapura, seorang dari United Kingdom, dua dari indonesia termasuk juara bertahan dan dua dari Korea Selatan.

Manakala selebihnya dari Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, manakala pemain termuda akan bersaing merupakan remaja lelaki berusia 14 tahun.

Daripada 128 peserta, 107 merupakan pemain lelaki dan 21 lagi adalah pemain wanita yang masing-masing akan merebut Trofi DYMM Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Aziz Alam Shah bagi kategori lelaki.

Manakala Trofi DYMM Tuanku Ampuan Najihah binti Almarhum Tuanku Besar Burhananuddin akan menjadi rebutan kategori wanita.

Presiden Persatuan Golf Negeri Selangor, S. Kuldip Seine dalam sidang medianya berkata, SAO ke-48 menawarkan keistimewaannya tersendiri apabila sebanyak lima hadiah hole-in-one akan ditawarkan dalam satu-satu kejohanan.

"Kami bersyukur dengan kehadiran lebih 40 penaja untuk edisi kali ini terutamanya daripada Bermaz Auto Berhad dengan Peugeot sebagai penaja utama.

"Peugeot menawarkan hadiah kereta Peugeot 3008 sebagai antara hadiah hole-in-one selain sebuah unit aparment di Cove Residence@Melaka yang ditaja oleh KEB Group.

"Tiga lagi hadiah lain termasuk set golf tajaan EZ Sports & Wellness, dua pakej percutian lima hari empat malam di Vietnam ditaja oleh JG Golf Vietnam dan dua jam tangan jenama Titoni yang ditaja oleh Kapten KGNS, Ronnie Yeo," katanya.

Menurut S. Kuldip, pihaknya berbangga kerana ini juga julung kalinya SAO menerima sokongan penuh dan tajaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Kita juga menerima sokongan daipada Kerajaan Negeri Selangor menerusi EXCO Sukan, Majlis Sukan Negeri Selangor, Perbadanan Padang Golf Subang, Persatuan Golf Malaysia dan SportXcell.

"Pertandingan ini juga tidak akan terkalsanan tanpa sokongan dunia korporat. Kami amat teruja kerana lebih 40 penaja korporat tampil memberi sokongan dalam pelbagai bentuk tajaan," jelasnya.

Sidang media tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran dua bekas juara SAO, Anil Johani dan Michelle Koh.

SAO bukan kejohanan asing dalam kalangan pemain golf tempatan kerana pertandingan ini menjadi medan awal untuk pemain elit amatur menempa nama sebelum bergelar pemain profesional.

Antara nama besar yang pernah mencipta nama menerusi kejohanan ini termasuk Danny Chia, R. Nachimuthu, Galven Green, Muhd Afif Razif, Kenneth Cristian De Silva, Kelly Tan, Ainil Johani, Michelle Koh, Liyana Durisic dan Winnie Ng.

Ainil merupakan juara tiga kali dalam kejuaraan ini apabila mencipta nama pada 2005, 2006 dan 2007.

Pemain kelahiran Sungai Buloh Selangor ini kemudiannya beralih ke dunia profesional apabila bersaing dalam Jelajah Eropah selama sembilan tahun.

Manakala Michelle pula memenangi gelaran juara pada 2013 dan kini bergelar jurulatih profesional di Kuala Lumpur Golf Country Club (KLGCC).

Michelle pernah mencipta nama apabila membawa nama negara di temasya Olimpik 2013 di Brazil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram