MAS tawar pakej menarik terbang ke Kertajati


  • Bizz
  • Isnin, 06 Nov 2023

MAS menawarkan pakej menarik sempena pembukaan penerbangan ke Kertajati, Indonesia. — Reuters

LEBIH banyak pakej menarik bakal disediakan Malaysia Airlines (MAS) sempena pembukaan penerbangan Kuala Lumpur ke Kertajati bagi memudahkan rakyat Malaysia berlibur di Indonesia.

Pengurus MAS di Indonesia, Abdul Razak Ab Hamid berkata, usaha itu akan diteruskan memandangkan sambutan menggalakkan yang diperoleh pada penerbangan pertama MAS ke Kertajati pada 30 Oktober lalu.

Jelasnya, pakej itu akan disediakan pada November dan sempena cuti sekolah pada Disember depan.

"Kita akan bekerjasama dengan travel ejen di Malaysia dan Bandung untuk mewujudkan pakej libur selain golf, untuk lawatan ke tempat menarik di Jawa Barat, terutamanya di Bandung, Medan, Majalengka dan Ceribon.

"Untuk cuti sekolah, ada sambutan pelancong dari Malaysia ke Bandung melalui Kertajati dan MAS akan beri harga istimewa bagi yang datang secara berkumpulan dengan jumlah minimum empat orang.

"Sebelum ini pengembara dari Malaysia perlu melalui Jakarta untuk datang ke Bandung dan ambil masa dua jam 30 minit ikut jalan darat atau kereta api," katanya.

Bagi meraikan pelancaran laluan baharu ini, Malaysia Airlines menawarkan tambang pengenalan bagi tempoh terhad sehingga 8 Oktober bagi perjalanan dari 30 Oktober 2023 hingga 29 Mac 2024.

Pengembara boleh menikmati tambang menarik bermula RM519 pergi balik melalui Kelas Ekonomi dan RM1,969 pergi balik melalui Kelas Perniagaan.

Malaysia Airline juga akan menyediakan perkhidmatan 'shuttle' percuma antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati dan bandar raya Bandung bagi memasyikan keselesaan sepenuhnya tetamu.

Penerbangan dua kali seminggu itu akan dikendalikan oleh pesawat Boeing 737-800NG Malaysia Airlines.

Sebagai salah satu daripada lima pasaran terbesar bagi Malaysia Airlines, penambahan Kertajati ke dalam rangkaian bukan hanya akan memberikan keselesaan kepada pengembara, sama ada bagi tujuan riadah atau perniagaan, malah akan turut merangsang pelancongan serta mengukuhkan hubungan dua hala antara dua negara.

Dengan wujudnya penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati, pengembara Malaysia kini dapat menjimatkan masa sejam kerana perjalanan dari lapangan terbang itu ke Bandung hanya mengambil masa satu jam setengah sahaja.

Selain Kertajaji, MAS juga menyediakan penerbangan ke Medan, Banda Aceh, Jakarta, Pekan Baru, Surabaya, Jogja dan Denpasar.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, penerbangan pertama kali ini dimeriahkan lagi dengan kejayaan penganjuran acara khas pertandingan golf Leisuremania Golf yang melibatkan 56 pemain amatur dari Malaysia.

Acara itu menyaksikan 56 pemain ditawarkan pakej penginapan lima hari empat malam serta berpeluang bermain di tiga kelab golf berbeza di sekitar Bandung seperti Mountain View Golf Resort, Jatinagor National Golf & Resort dan Parahyangan Golf.

"MAS berterima kasih kepada Leisure Golf Services dan Komuniti Golf Melayu Malaysia kerana menganjurkan acara ini.

"Kita tak terhenti setakat ini kerana ada lagi acara lain yang kita akan anjurkan dan kita harap akan dapat sambutan lebih meriah lagi selepas ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram