Lalui detik dramatik, Celine Boutier muncul juara Kejohanan Golf Maybank 2023


  • Podium
  • Ahad, 29 Okt 2023

Celine Boutier (kanan) muncul juara sulung Kejohanan Golf Maybank selepas memenangi saingan play-off dengan Atthaya Thitikul dari Thailand. — Twitter/Bernama

PEMAIN Perancis, Celine Boutier melalui detik penuh dramatik dalam saingan ‘play-off’ sembilan lubang sebelum mengecewakan pemain muda Thailand, Atthaya Thitikul untuk meraih kejuaraan sulung Golf Maybank 2023 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Ahad.

Pertarungan menentukan juara kejohanan bernilai US$3 juta (kira-kira RM14.34 juta) itu cukup mendebarkan penonton apabila Boutier terikat dengan catatan 21 bawah par 267 pukulan dengan Atthaya selepas pusingan akhir.

Terdahulu, Boutier, pemain nombor lima dunia, di tempat kelima membenam lapan birdie untuk melonjak ke tempat teratas sementara Atthaya, pemain nombor 13 dunia, mencatatkan lima birdie dan satu bogey untuk terikat kedudukan sebelum diheret ke saingan ‘play-off’.

Kedua-dua pemain ‘tidak dapat dipisahkan’ apabila melakukan pukulan par di lubang ke-18 pada dua ‘play-off’ pertama sebelum aksi ditangguhkan selama sejam susulan cuaca hujan sebelum disambung semula play-off ketiga di lubang ke-15 menyaksikan kedua-dua melakukan pukulan par.

Boutier, 29, dan Atthaya, 20, meneruskan aksi cemerlang apabila masing-masing melakukan pukulan birdie di play-off keempat di lubang ke-18 dan par di lubang ke-15, 18, 15 dan birdie di lubang ke-18.

Bagaimanapun, Boutier berjaya muncul pemain pertama merangkul empat gelaran dalam siri Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) tahun ini apabila melakukan birdie sementara Atthaya melakukan pukulan par di lubang ke15.

Pukulan birdie itu membolehkan Boutier dijulang selaku juara dan membawa pulang hadiah wang tunai US$450,000 (RM kira-kira RM2.15 juta) serta memperoleh 30 mata untuk menungguli carta kedudukan Pemain Terbaik Rolex.

Celine 1

Pemain Perancis, Celine Boutier muncul pemain pertama merangkul empat gelaran dalam siri Jelajah LPGA. — Twitter/Bernama

Atthaya, selaku naib juara menerima US$282,976 (RM1.52 juta).

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Rekod pertandingan play-off terpanjang dicipta pada kejohanan Terbuka Corpus Christi Civitan pada 1972 apabila Jo Ann Prentice dari Amerika Syarikat mengalahkan rakan senegara Sandra Palmer dan Kathy Whitworth dalam aksi play-off 10 lubang selepas terikat 210 pukulan di Kelab Country Pharaohs di Corpus Christi, Texas.

Bagi acara di Malaysia, rekod ini milik Joachim Haeggman dari Sweden yang mengalahkan pemain negara, mendiang P. Gunasegaran, dalam pertandingan playoff lapan lubang yang dramatik pada Terbuka Malaysia pada 1994.

Dalam pada itu, Boutier berkata, dia begitu gembira untuk melihat pukulan putt semakin baik dan akhirnya muncul juara di sebalik saingan sengit daripada Atthaya.

"Ketika pertandingan play-off ditangguhkan kerana cuaca, ia tidak mudah. Saya pergi ke bilik persalinan, tempatnya lebih sunyi dan saya berada dalam dunia saya sendiri.

"Saya tidak menjangkakan pertandingan play-off akan begitu lama sebenarnya. Saya hanya cuba yang terbaik untuk memperbaiki permainan pukulan putt dan mendapat peluang untuk mengakhiri perlawanan. Kami berdua sangat hampir.

"Sudah pasti merangkul anugerah Pemain Terbaik Rolex pada satu ketika dalam karier saya, tetapi tidak benar-benar mengharapkannya pada musim ini kerana saya rasa sudah cukup sukar untuk sekadar memenangi pertandingan.

"Saya tidak akan mengambil mudah peluang merebut anugerah ini,” katanya.

Sementara itu, pendahulu pusingan ketiga. Rose Zhang dari Amerika Syarikat mencatatkan empat birdie dan tiga bogey untuk berkongsi tempat ketiga dengan pendahulu dua pusingan awal, Jasmine Suwannapura dari Thailand apabila melakarkan jumlah catatan keseluruhan 10 di bawah par 269 pukulan.

Juara Olimpik Tokyo, Nelly Korda dari Amerika Syarikat menamatkan saingan di tempat keenam dan berkongsi kedudukan dengan pemain Kanada, Brooke Henderson dan Gemma Dryburgh dari Scotland dengan 17 di bawah par 271.

Pemain numbor dua dunia,Yin Ruoning dari China berkongsi tempat ke-17 nersama-sama dengan pemain Jepun Minami Katsu dan Hannah Green dari Australia dengan jumlah catatan 11 bawah par 277 pukulan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram