TOURISM Malaysia menyasarkan seramai 200 pemain domestik dan Asean yang akan mengambil bahagian dalam acara Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023 (MTATGC).
Pengerusi Koperasi Kakitangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Berhad (Koppema), Datuk Musa Yusof berkata, acara itu julung kali diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia.
Menurutnya, kejohanan dengan kerjasama daripada 43 organisasi terkemuka sebagai rakan kongsi strategik itu bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama dalam industri pelancongan Malaysia.
"Selain itu, ia juga bertujuan menarik peminat golf tempatan dan antarabangsa untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi percutian utama seterusnya menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara," katanya ketika sidang media pra-pelancaran Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023 di Urbanhive, Putrajaya pada Khamis.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Mohd Roslan Abdullah; Ketua Sekretariat MTATGC, Ahmad Johanif Mohd Ali dan wakil daripada rakan kongsi strategik kejohanan itu antaranya Astro Awani, Batik Air Malaysia, CIMB Band Berhad dan Malaysia Aviation Group.
Sementara itu, Musa berkata, kejohanan tersebut turut diadakan selari dengan Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) yang bakal berlangsung pada 26 hingga 29 Oktober depan.
"Kita nak tarik pengunjung yang hadir ke LPGA untuk turut sama memeriahkan lagi kejohanan ini.
"Dalam masa sama, kita juga akan berbincang dengan pihak Maybank agar pemenang MTATGC diberi peluang untuk mendapatkan tiket wild card bagi slot Pro M dan melayakkan mereka untuk beraksi di pentas LPGA.
"Untuk makluman, setakat ini kita dah capai 70 peratus penyertaan dan pendaftaran masih lagi dibuka," ujarnya.
Kejohanan tersebut bakal berlangsung pada 25 Oktober depan bertempat di Saujana Golf & Country Club (SGCC), Shah Alam, Selangor.
Lebih menarik, setiap peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM500,000, antaranya termasuk Ducati Diave dan Perodua Ativa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram