
POLIS bertindak pantas menahan sekumpulan pelajar yang didakwa mengancam keselamatan awam selepas merusuh menggunakan senjata dalam kejadian di Kompleks Perumahan Citra 3, Kalideres, Jakarta Barat, Indonesia pada petang Jumaat.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Barat, Pesuruhjaya Polis Andri Kurniawan berkata, seramai tiga pelajar termasuk suspek utama berusia 16 tahun ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas rakaman video tindakan mereka tular di media sosial.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Perkara 2 Undang-Undang Darurat No. 12 Tahun 1951 dengan senjata tajam,” kata polis pada Sabtu.
Polis turut merampas senjata tajam seperti empat bilah sabit dan sebatang kayu golf yang dibawa suspek pada masa kejadian.
Sebelum ini, tular rakaman di media sosial yang menunjukkan dua orang pelajar berlari-lari di jalan raya sambil menghayunkan sabit.
Pada masa yang sama, pelajar terbabit turut mengancam seorang lelaki berpakaian serba hitam dengan bertindak seolah-olah mahu menetaknya selepas individu terbabit mendekati mereka.
Setelah itu, remaja terbabit berlari ke arah sekumpulan rakannya yang menunggang motosikal dan kemudian beredar dari kawasan terbabit.
Berhubung kejadian itu, Hidayat, seorang pengawal keselamatan di kawasan Pegadungan, Jakarta Barat mendedahkan mahu dianiaya pelajar sekolah menengah berkenaan.
"Bukan diancam lagi, saya mahu ditetak, tapi saya mengelaknya.
“Daripada lawan saya takut mati,” kata mangsa memetik laporan TribunJakarta.
Selepas diganggu, Hidayat cuba mengejar suspek, namun tidak dapat mengesan suspek.
“Mereka membawa sabit, kemudian saya halau mereka ke arah jalan Citra 8 hingga mereka hilang daripada pandangan,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini, pihak polis tidak mendedahkan hukuman yang bakal diterima pelajar berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram