[VIDEO] Lagi kes ngeri bola sepak sosial, lawan 'tackle' sampai koyak buku lali di Kerteh


  • Podium
  • Ahad, 17 Sep 2023

Kiri: Tangkap layar ketika pemain berbaju putih diasak pihak lawan. Kanan: Kecederaan buku lali yang dialami mangsa.

AKSI bola sepak sosial yang difahamkan berlangsung di Kerteh, Terengganu bertukar tragis apabila seorang pemain mengalami kecederaan serius di buku lalinya.

Perlawanan yang difahamkan diadakan pada Jumaat lalu itu menyaksikan sebuah pasukan berbaju hitam berdepan pasukan berbaju putih.

Bagaimanapun, ketika seorang pemain sedang melakukan percubaan, pemain lawan melakukan halangan keras daripada belakang untuk mengawal gawang golnya daripada dibolosi.

Namun, asakan itu dilihat terlalu keras dan tidak mengena bola, namun secara tidak sengaja mengenai bahagian buku lali pemain berbaju putih.

Pertembungan berkenaan menyaksikan 'mangsa' terjatuh sebelum memegang kakinya dengan pelaku sempat memeriksa keadaannya.

Selain itu, kelihatan juga seorang pemain berbaju putih sempat melihat rakan sepasukannya, namun terpaksa berundur selepas melihat kecederaan ngeri yang menimpanya.

Berdasarkan pengamatan di media sosial, beberapa keping foto mula tersebar memaparkan pergelangan kaki 'mangsa' koyak sehingga kelihatan tulangnya.

Dalam masa sama, Majoriti mendapati kejadian berlaku di sebuah padang milik Kerteh Sports City FC, Terengganu yang menawarkan perkhidmatan penyewaan padang buat orang ramai.

"Keadaan mangsa stabil dan selamat menjalani pembedahan dan sekarang masih di hospital. Kami pun tunggu dia balik ke rumah dan insya-ALLAH akan pergi ziarah nanti," katanya kepada Majoriti.

Menurut wakil daripada badan pembangunan bola sepak sosial itu, mereka mengesahkan perlawanan itu berlangsung antara dua pasukan amatur.

Sejak kebelakangan ini, beberapa aksi bola sepak sosial mula mendapat perhatian daripada pengguna di media sosial berikutan insiden-insiden kurang menyenangkan.

Pertelingkahan antara pemain serta pergaduhan dengan pengadil merupakan sebahagian momen yang terjadi sehingga ia dikhuatiri akan menjejaskan mutu sukan itu dalam kalangan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram