Langkah MFL ubah kalender Liga M dapat elak kelab beli import 'besi buruk'


  • Podium
  • Ahad, 17 Sep 2023

Pihak Malaysian Football League akan mengubah kalendar bola sepak tempatan seiring takwim AFC.

PIHAK Malaysian Football League (MFL) mengambil keputusan yang bakal mengubah landskap bola sepak negara kita bermula pada musim 2024.

Hal ini kerana, badan penganjur liga itu semakin hampir untuk mengubah kalendar bola sepak tempatan seiring dengan takwim kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Dengan tindakan ini, ia akan selarikan waktu kejohanan tempatan dan peringkat Asia. Saingan bola sepak tempatan juga tidak akan diadakan secara tahunan sebaliknya merentasi dua tahun atau cross-year.

Tindakan MFL ini disambut baik oleh penganalisis bola sepak tempatan iaitu Dr Pekan Ramli. Menurut Pekan, apa yang dilakukan oleh mereka akan membawa lebih banyak kebaikan kepada saingan tempatan berbanding masalah.

380072702_332108585877798_4965111090529605356_n

Kalendar bola sepak Malaysia bakal mengikut format AFC. — Facebook/MFL

Pada hemat Pekan, Malaysia yang merupakan sebahagian daripada ahli gabungan AFC sepatutnya mengikut rentak mereka dan tindakan MFL ini adalah proaktif untuk bola sepak negara.

"Ini satu langkah yg sangat proaktif dan membawa banyak kesan positif, kenapa perlu kita ikut suka hati kita sebab kalendar bola sepak di seluruh dunia saling berkait mengikut kesesuaian musim benua-benua yang terbabit seperti Amerika Latin, Eropah, Afrika dan Asia. Malaysia sebagai ahli gabungan AFC memang patutlah selarikan jadual mengikut mereka," kata Pekan kepada Majoriti.

Menurut Pekan, apabila jadual diselarikan ia akan memberikan banyak manfaat kepada kelab terutamanya dalam persiapan menghadapi kejohanan peringkat Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Piala AFC.

Ia secara tak langsung turut membantu persiapan skuad kebangsaan kerana jadual di Malaysia sudah mula selari dengan majoriti negara-negara lain.

Nilai tambah terbesar terletak pada jendela perpindahan. Menurut Pekan, kelab-kelab Liga Malaysia boleh bertarung serentak dengan pasukan lain dalam mendapatkan pemain selepas ini kerana kalendar sudah selari mengikut jadual AFC.

"Tempoh off-season dan jendela perpindahan juga akan serentak dan ini membolehkan kelab-kelab kita mendapatkan pemain-pemain import berkualiti dan bukannya saki-baki atau 'besi buruk' yang tak laku di negara lain menjadikan Malaysia sebagai talian hayat mereka," ujar Pekan.

Soccer Football - AFC Champions League - Final - Second Leg - Urawa Red Diamonds v Al-Hilal - Saitama Stadium, Saitama, Japan - May 6, 2023 Urawa Red Diamonds' Marius Hoibraten with Alexander Scholz and teammates celebrate with trophy on the podium after winning the AFC Champions League REUTERS/Issei Kato

Urawa Red Diamonds adalah salah sebuah jaguh dalam kejohanan kelab Asia. — Agensi

Namun begitu, keputusan menyamakan jadual dengan kalendar AFC ini ada cabarannya buat MFL.

MFL perlu memastikan setiap jadual yang diatur tidak menyukarkan mana-mana pasukan terutamanya ketika musim tengkujuh dan bulan Ramadan.

Musim tengkujuh yang berlaku di Pantai Timur adakalanya menyebabkan bencana banjir dan itu menggusarkan kelab-kelab seperti Terengganu FC dan Kelantan FC jika kalendar diubah mengikut format AFC.

"Perkiraan musim tengkujuh atau banjir perlu juga diambil kira, walaubagaimana pun musim tengkujuh sebenarnya tak boleh diramal, kadang-kadang berlaku, kadang-kadang tidak.

"MFL tidak boleh terlalu risau dengan keadaan ini, cuma mereka perlu ada sejumlah waktu simpanan yang cukup untuk melengkapkan jadual atau musim pertandingan," ujar Pekan.

Cabaran sukar buat MFL untuk mengadakan perlawanan di bulan Ramadan kerana penyokong tidak cenderung kepada idea tersebut. Untuk bertahun lamanya, bola sepak dihentikan pada Ramadan dengan tujuan menghormati bulan penuh mulia.

FC Pohang Steelers (KOR) players warm up during the Official Training prior their AFC Champions League 2021 Final match against Al Hilal SFC (KSA) at the King Fahd International Stadium on November 22, 2021 in Riyadh, Saudi Arabia. Photo by Victor Fraile / Power Sport Images for The AFC

Kelab Arab Saudi, Al Hilal (jersi biru) tetap beraksi walaupun di bulan Ramadan. — Agensi

Tetapi bagi Pekan, walaupun Ramadan adalah bulan melakukan amal kebaikan, tidak bermakna aktiviti sukan tidak boleh diadakan seperti biasa tambahan pula bermain bola sepak adalah profesion bagi para pemain.

"Bulan Ramadan memang waktu untuk menggandakan ibadah namun aktiviti sukan masih boleh berjalan. Ramai pemain beragama Islam yang beraksi dalam saingan utama Eropah patut dijadikan contoh kerana jadual tidak berubah dan mereka tetap beraksi seperti biasa.

"Keadaan kita tidaklah seteruk mana, kerana perlawanan di bulan Ramadan diadakan pada sebelah malam. Jadi sepatutnya tidak ada isu," komen Pekan.

Sebagai rekod, kalendar bola sepak AFC terutamanya saingan ACL adalah diadakan serupa dengan jadual bola sepak Eropah iaitu bermula pada Ogos hingga Mei.

Oleh itu, kita akan menyaksikan saingan musim baharu Liga Malaysia bermula dari Ogos 2024 hingga Mei 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram