PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner memuji aksi cemerlang yang dipamerkan pemain muda dalam aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia menentang Selangor FC pada Sabtu.
Tomislav berkata, pemain muda seperti Safwan Mazlan, Engku Nur Syakir serta Syahmi Zamri menunjukkan peningkatan prestasi yang membanggakan sehingga menyumbang kepada kemenangan pasukan.
Jelasnya, kombinasi pemain senior dan baharu juga berjaya membuahkan hasil serta gandingan tersebut akan memantapkan lagi skuad Penyu untuk menghadapi cabaran perlawanan akan datang, termasuk saingan Piala AFC yang bermula Rabu ini.
"Saya sangat gembira kerana pemain muda kami bermain semakin baik malam ini (Sabtu). Safwan walaupun dia tidak banyak bermain, bermain dengan baik malam ini.
Syahmi Zamri (kanan) menjaringkan gol kedua buat pasukannya. — Facebook/Terengganu FC
"Hari ini tiada kesilapan besar dan saya rasa kami berhak untuk menang,” katanya selepas perlawanan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin SSMZA, Terengganu.
Terengganu berjaya membawa bekalan dua gol selepas menewaskan Selangor 2-0 untuk perlawanan suku akhir kedua di Stadium MBP, Selangor Ahad depan.
Sementara itu, pengendali skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe berkata, kegagalan pemain mengawal permainan dan melakukan hantaran berkualiti menyebabkan keyakinan pasukan terjejas sekali gus gagal mencipta kemenangan.
Sehubungan itu, jurulatih berusia 55 tahun itu menggesa pemainnya supaya memperbaiki kelemahan serta kesilapan bagi menghadapi perlawanan di laman sendiri nanti.
"Kekalahan ini menjadi pengajaran besar bagi kita. Pemain perlu mempersiap mental dan fizikal untuk berhadapan Terengganu bagi perlawanan timbal balik," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram