Lama tak beraksi, fans Sri Pahang harap Tok Gajah tak 'lemau' jumpa KL City


  • Podium
  • Ahad, 17 Sep 2023

Sri Pahang akan bertemu KL City dalam suku akhir Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC

SELEPAS tiga daripada empat perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia sudah pun diadakan, tinggal satu sahaja lagi aksi bakal dilangsungkan.

Sri Pahang FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC akan bertemu sesama sendiri pada Ahad dalam misi kedua-dua kelab untuk mara ke separuh akhir dan cuba mendapatkan piala di hujung musim.

Kedua-dua pasukan kini sedang menduduki zon pertengahan Liga Super dan Piala Malaysia sahaja gelaran yang boleh diburu untuk mengubat duka mereka terutamanya KL City yang sebelum ini dikecewakan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA.

Skuad Tok Gajah dan Warga Kota baru sekali sahaja bertemu sesama sendiri dalam saingan liga musim ini. Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, KL City meraih kemenangan 1-2.

Oleh kerana itu, penyokong Sri Pahang begitu mendambakan kemenangan pada Ahad kerana ingin membalas dendam ke atas kekalahan yang dihadapi sebelum ini.

Namun begitu, penyokong Sri Pahang mempunyai satu kerisauan. Ada penyokong yang berasa bimbang kekurangan perlawanan sebelum aksi suku akhir ini menyebabkan Tok Gajah tidak begitu tajam untuk turun bertarung.

Sebagai rekod, kali terakhir Sri Pahang beraksi adalah pada 27 Ogos dalam perlawanan Liga Super menentang Kelantan United. Ketika itu, skuad kendalian Fandi Ahmad menang 1-5 di Kota Bharu.

Genap tiga minggu selepas itu, barulah perlawanan kompetitif pertama Sri Pahang akan diadakan pada Ahad dengan bertemu KL City.

Tanpa mengadakan perlawanan persahabatan untuk mengekalkan tahap prestasi seperti yang dibuat Selangor FC, Sabah FC dan PDRM FC, penyokong Tok Gajah ada sebab untuk risau dengan pasukan mereka.

374733486_673501791478522_7324992652476318387_n

Sri Pahang membelasah Kelantan United di Kota Bharu. — Facebook/Sri Pahang FC

Pada hemat penyokong, mereka benar-benar berharap pasukan mereka tidak 'lemau' sewaktu turun berdepan skuad kendalian Nenad Bacina di Cheras.

"Main satu perlawanan lepas tu rehat (sampai) dua, tiga minggu," kata penyokong bernama Sha Moh.

"Lama sangat rehat ni. Harap semua (pemain) bermain dengan (Sri) Pahang ya. Hogoh Tok Gajah!!," komen Jamal Captain Asean.

"Main satu perlawanan lepas tu rehat satu bulan. Bila kalah cakap pemain tak berada dalam keadaan yang baik," komen Izzat Mahfuze.

Sri Pahang perlu menunggu sedikit masa lagi sebelum dapat kembali beraksi di Stadium Darul Makmur kerana Tok Gajah akan bertemu KL City di Cheras terlebih dahulu.

Aksi di laman sendiri adalah pada 24 September iaitu perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia bertemu skuad Warga Kota. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram