Kerap diturunkan beraksi, Danial Asri mahu buktikan kepercayaan diberi Cheng Hoe berbaloi


  • Podium
  • Selasa, 09 Mei 2023

Danial membuat penampilan sebanyak tujuh kali bersama kelab Lembah Klang dalam Liga Musim baharu.

SEMAKIN kerap beraksi di Liga Super musim baharu, penyerang Selangor FC, Danial Asri yakin dirinya kini mendapat kepercayaan pengendali kelab itu, Tan Cheng Hoe bagi terus menjadi tonggak skuad Gergasi Merah.

Tidak mensia-siakan kepercayaan diberi, bekas ketua pasukan Piala Belia Selangor itu berkata, ini adalah peluang yang baik untuk dia mempamerkan kemahirannya di saingan tertinggi liga domestik.

"(Saya semakin) kerap diturunkan berbanding sebelum ini. Ini satu peluang yang bagus kerana jurulatih beri kepercayaan kepada saya untuk bermain. Jadi saya buktikan kemampuan," katanya ketika ditemui di jamuan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Dewan Bankuet Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Isnin.

Namun bekas penyerang Harimau Muda itu tidak menafikan setiap jurulatih memainkan peranan berbeza dalam membentuk corak permainan di padang.

"Apa yang saya boleh simpulkan, perbezaan jurulatih memang memainkan peranan. Setiap jurulatih ada peranan dan agihkan tugasan tersendiri untuk saya.

"Bagi saya, jurulatih Tan lebih kepada permainan mudah. Saya harap lepas ini dapat lebih minit permainan, pasukan pun akan dapat keputusan yang baik sekali gus mengekalkan kedudukan dalam liga," ujarnya.

Untuk rekod, dalam Liga Super 2022, Danial mencatatkan 278 minit permainan dalam 10 perlawanan dia diturunkan, manakala musim ini pemain tinggi lampai itu membuat penampilan sebanyak tujuh kali bersama kelab Lembah Klang.

Danial menjadi antara pemain gantian yang sering menjadi bualan para penyokong skuad Gergasi Merah kerana pemain berusia 23 tahun itu selalu menampilkan prestasi terbaik.

Musim lalu, Danial muncul penyelamat buat skuad Gergasi Merah apabila dia berjaya memecahkan kebuntuan menerusi tandukan mudah, sekali gus memastikan Selangor menang 1-0 ke atas Petaling Jaya City FC dan membawa pulang tiga mata berharga dalam aksi Liga Super.

Pada musim ini, penyerang muda Selangor itu membuat kejutan lagi apabila menambah derita buat skuad Kuching City apabila meledak gol kelima pada minit ke-73 menerusi rembatan padu kaki kanannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram