Fans Selangor ada teori baharu kenapa Ayron terus bergelut dalam Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Ayron sudah mencetak tujuh jaringan peribadi dalam 10 penampilannya dalam Liga Super. — Facebook/Selangor FC

MESKIPUN mengalami kekalahan di tangan Sabah FC pada 27 April lalu, Selangor FC masih boleh menarik nafas lega apabila masih kekal berada di tangga kedua Liga Super.

Prestasi konsisten sepanjang musim membolehkan mereka lebih yakin untuk melangkah ke pentas Asia pada 2023 selepas mengalami satu tempoh yang sukar sebelum ini.

Pelaburan yang dilakukan pihak pengurusan sepanjang jendela perpindahan dikatakan sebagai antara punca skuad Gergasi Merah mampu muncul sebagai pencabar utama.

Kehadiran penyerang sayap kebangsaan, Faisal Halim sememangnya menambah dimensi baharu buat jentera pasukan dengan empat gol serta empat bantuan jaringan yang dihasilkan.

Selain itu, keputusan pihak pengurusan untuk mendapatkan khidmat beberapa import, seperti Noor Al-Rawabdeh dan Yohandry Orozco juga memberi pulangan seperti mana diharapkan.

Namun, penyerang kelahiran Colombia, Ayron del Valle boleh dikatakan sebagai watak utama pasukan Lembah Klang tersebut berdasarkan statistiknya selepas 10 perlawanan.

Tujuh jaringan peribadi di samping satu bantuan gol yang dihasilkan memainkan peranan cukup penting buat Selangor FC sejak kehadirannya Januari lalu.

341656947_1595033404311793_7510828356654916353_n

Penyokong pasti mengharapkan skuad Gergasi Merah terus bangkit musim ini. Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, di sebalik persembahannya yang menunjukkan peningkatan ketara, masih terdapat beberapa kekurangan yang boleh dikatakan mengenai penyerang berusia 34 tahun berkenaan.

Profilnya sebagai seorang pemain yang lebih kerap berada dalam kotak penalti lawan seperti tidak diiktiraf ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe apabila dia diberikan tugasan berbeza.

Bukan itu sahaja, Ayron juga jarang memberi sumbangan ketika proses serangan pasukan yang mana memaksa rakan sepasukan berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh.

Oleh itu, dengan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bakal dibuka Julai depan, penyokong Gergasi Merah pasti akan mendesak pihak pengurusan untuk mencari solusi terbaik.

Tetapi, berdasarkan pandangan seorang peminat setia pasukan, Amrl Afndyy, taktikal pihak lawan merupakan punca utama pemain berkenaan berdepan satu tempoh yang agak sukar.

"Sebenarnya, macam ni, orang tahu Selangor FC tidak pernah mengecewakan dalam bab penyerang. Jadi, pasukan lain pasti sudah melakukan penyelidikan dengan lebih rapi.

"Dia bukannya tidak bagus, tetapi sudah dikawal dengan ketat. Jadi, Selangor perlu melatih pemain lain untuk jadi penjaring," katanya.

Ayron sebelum ini tiba dari kelab di negara kelahirannya, Once Caldas yang disertainya pada Januari 2022 dengan dia muncul sebagai antara peledak berbisa di Colombia.

Tambah penyokong setia berkenaan, pemain berketinggian 1.75 meter itu turut sedikit menunding jari ke arah pemain lain di atas pergelutan yang dialaminya itu.

"Pemain di posisi tengah kita pun sedikit bermasalah kerana dia terpaksa untuk turun untuk mendapatkan bola daripada rakan sepasukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram