'Antara hidup atau mati', bekas penyerang muda negara titip semangat sebelum sepak mula skuad B-22 lawan Vietnam


  • Podium
  • Isnin, 08 Mei 2023

Skuad Harimau Muda menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Vietnam pada Isnin malam. — Facebook/ FAM

MENJELANG perlawanan Sukan SEA 2023 Skuad Malaysia bawah 22 tahun (Malaysia B-22) menentang Vietnam pada aksi Kumpulan B pada Isnin malam, penyerang Selangor FC, Danial Asri menitip kata-kata semangat kepada wakil negara dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Danial yang juga merupakan bekas penyerang Harimau Muda percaya aksi yang bakal berlangsung di Stadium Prince, Phnom Penh, Kemboja akan menentukan nasib skuad kendalian E. Elavarasan itu.

"Perlawanan menentang Vietnam hari ini adalah antara hidup dan mati. Kalau menang, kita masih ada harapan lagi. Tetapi jika kalah, harapan untuk meneruskan perlawanan di Sukan SEA kali ini makin malap.

"Jadi bagi saya mereka kena bagi sehabis baik kerana kita boleh ibaratkan aksi malam ini seperti perlawanan terakhir.

"Namun, kalau tidak ada rezeki, kita kena usaha lagi, sebab perjalanan kita masih jauh," katanya ketika ditemui di jamuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Bankuet Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Danial Asri

Untuk rekod, pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini pernah diberi kepercayaan untuk beraksi di Sukan SEA Hanoi, Vietnam bawah kendalian Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan, Brad Maloney.

Produk Pusat Latihan Daerah (PLD) Kuala Selangor yang kini beraksi sebagai antara tonggak utama pasukan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe itu merekodkan satu jaringan gol dalam tujuh perlawanan Liga Super musim ini.

Terdahulu, Skuad B-22 Malaysia gagal mengulangi aksi cemerlang pada perlawanan sebelum ini apabila tunduk 0-2 di tangan Thailand pada perlawanan kedua Sukan SEA 2023 yang berlangsung pada Sabtu.

Perlawanan itu menyaksikan Elavarasan meletakkan Syahir Bashah, Fergus Tierney dan T. Saravanan di kesebelasan utama, manakala merehatkan Mukhairi Ajmal Mahadi, Aliff Izwan Yuslan serta Haqimi Azim Rosli.

Bertemu lawan yang merupakan pemenang pingat perak edisi lalu, barisan pemain skuad negara dilihat sedikit berdepan kesukaran untuk mempamerkan aksi terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram