SUDAH menjadi lumrah dalam dunia bola sepak bahawa seseorang pemain itu akan berhijrah bagi mengembangkan lagi karier masing-masing.
Keputusan tersebut boleh dianggap sebagai satu perjudian apabila kerap dilihat bahawa pihak kejurulatihan akan menepikan mereka daripada perancangan.
Hasilnya, bakat yang sebelum ini dipamerkan bersama pasukan terdahulu akan terus malap sehingga mengakibatkan kemampuan seseorang terus merudum.
Perkara berkenaan juga kerap berlaku dalam Liga Malaysia apabila pemain sering mencari peluang untuk berpindah setiap kali jendela perpindahan.
Antara destinasi yang sering menjadi tumpuan pastinya juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) dengan stabiliti di dalam mahupun luar padang.
Namun, bagi sesetengah penyokong bola sepak tanah air, keputusan tersebut sering disalah anggap apabila mereka berasakan ramai pemain tempatan semakin malap sejak berhijrah menyertai skuad Harimau Selatan.
Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Hazwan Bakri sering menjadi topik utama apabila mereka lebih kerap memanaskan bangku simpanan sejak menyertai kelab tersebut.
Bagaimanapun, bagi seorang peminat setia bola sepak tempatan, mereka pastinya sedar bahawa JDT bukanlah satu-satunya pasukan yang sering menjadi 'kubur' dalam perkembangan karier pemain.
Menerusi tinjauan Majoriti, terdapat lima bintang yang pernah malap sejak mengambil keputusan berhijrah bagi mengembangkan lagi pengalaman dalam sukan itu.
1. Nasir Basharuddin (Terengganu FC)
Penyingkiran Perak FC dari divisyen teratas bola sepak tempatan menyaksikan beberapa pemain terpaksa meninggalkan pasukan itu.
Antara pemain yang berbuat demikian ialah bekas kapten mereka, Nasir Basharuddin dengan pasukan Pantai Timur, Terengganu FC pantas menyambar khidmatnya.
Namun, kesukaran untuk meletakkannya dalam posisi terbaik memaksa ketua jurulatih ketika itu, Nafuzi Zain untuk terus meletakkannya di bangku simpanan.
Menurut statistik, pemain tengah itu hanya diturunkan sebanyak lapan kali daripada 11 perlawanan dalam musim pertama dan 12 penampilan dalam 22 aksi dalam musim keduanya.
Nasir (kiri) sukar mendapatkan tempat bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Ia sedikit sebanyak menyebabkan kariernya terus malap memandangkan dia pernah mencipta nama bersama skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan dilantik sebagai kapten di samping diturunkan ketika menjuarai Piala Malaysia 2018.
Menyedari kehadirannya semakin dilupakan, Nasir memilih untuk berhijrah ke Petaling Jaya (PJ) City FC pada 2022 dengan beberapa laporan mengatakan kemampuannya semakin menyerlah sejak meninggalkan Terengganu FC.
Kini, pemain berusia 32 tahun itu memilih untuk menyertai pasukan Liga M3, Harini FT selepas skuad The Phoenix dibubarkan berikutan isu pengurusan November lalu.
2. Faiz Nasir (Selangor FC)
Selepas bersinar bersama Terengganu FC, pemain sayap licik, Faiz Nasir memilih untuk berkelana ke Selangor FC untuk semusim pada 2019.
Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah yang ketika itu dikendalikan B Sathianathan berdepan kesukaran dalam mencari formula terbaik buatnya.
Meskipun tampil dalam majoriti aksi Liga Super, pemain yang pernah menerima jolokan 'Messi Terengganu' itu hanya menjaringkan satu gol dalam 18 perlawanan.
Faiz hanya beraksi selama semusim bersama Selangor FC.
Dia kemudiannya memilih untuk pulang ke Pantai Timur bagi menghidupkan semula kariernya yang ketika dilanda beberapa siri kecederaan dan masalah kecergasan.
Persoalannya, adakah benar bahawa Selangor FC menjadi punca di sebalik kemerosotan prestasi yang dialami Faiz sehingga dia sudah semakin dilupakan.
Walaupun perkara itu memecahbelahkan pendapat, pilihan Sathianathan untuk meletakkannya sebagai penyerang sayap memberi kesan terhadap kariernya selepas itu.
Ini kerana bekas pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti lebih gemar menurunkannya dalam posisi pemain tengah menyerang dengan kemampuannya untuk melorongkan bola.
Kini, pemain kelahiran Kelantan itu masih terikat bersama skuad Sang Penyu dengan usianya semakin lanjut sehingga menyebabkan dia semakin tersisih daripada skuad.
3. Shahrel Fikri (Selangor FC)
Seperti dibincangkan di atas, penyingkiran Perak FC ke Liga Perdana pada hujung musim 2020 menyebabkan ramai tonggak skuad meninggalkan pasukan tersebut.
Penyerang dengan potensi besar, Shahrel Fikri Mohd Fauzi turut mengambil langkah sama apabila dia memutuskan untuk berkelana ke Lembah Klang untuk membolehkannya menyertai Selangor FC.
Namun, keberadaan peledak import, Ifedayo Olusegun menyaksikan pemain tersebut terus disisihkan daripada kesebelasan utama apatah lagi daripada panggilan skuad kebangsaan.
Bakat Eky terkubur berikutan isu kecergasan dan kecederaan. — Facebook/Selangor FC
Selain itu, masalah kecederaan yang terus merudung Shahrel memaksa barisan kejurulatihan untuk terus meletakkannya di bangku simpanan di samping memberinya minit-minit permainan bersama pasukan simpanan.
Musim lepas, kehadiran bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe masih gagal untuk membantunya kembali ke dalam skuad utama dengan khidmat pemain muda, Danial Asri lebih digemari.
Kali terakhir Shahrel menjaringkan gol dalam aksi Liga Super adalah ketika Selangor FC menentang Penang FC pada Julai 2022 yang juga merupakan gol sulungnya sepanjang tahun.
Kemerosotan itu pastinya sukar untuk dilupakan penyokong bola sepak tanah air apabila pemain berusia 28 tahun itu pernah menggoncang dunia sukan selepas muncul sebagai penyerang terbaik kebangsaan pada 2017.
Jadi, dalam usaha untuk mendapatkan semula sentuhannya, Shahrel yang juga terkenal sebagai Eky memilih untuk berkelana ke Negeri Sembilan FC, namun masih belum diturunkan setakat ini.
4. Kogileswaran Raj (Sri Pahang)
Pemain sayap berusia 24 tahun, Kogileswaran Raj mencuri perhatian ramai selepas mengumumkan penghijrahannya ke Korea Selatan ketika jendela perpindahan yang lalu.
Kariernya ketika ini dilihat semakin bersinar berbanding ketika dia masih remaja dan berkhidmat bersama sebuah pasukan ternama Liga Super, Sri Pahang FC.
Dia yang menyertai skuad Tok Gajah daripada Harimau Muda C sukar untuk mendapatkan peluang di atas padang dengan lambakan penyerang dan pemain sayap dalam pasukan.
Oleh itu, selepas hanya mencatatkan 27 penampilan dalam tiga musim bersama Sri Pahang FC, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu memilih untuk berkelana ke PJ City FC.
Kogi menjadi pemain tempatan pertama beraksi di Korea Selatan.
Sejak itu, Kogi tidak lagi menoleh ke belakang apabila kariernya terus berkembang, termasuk menjadi hero kebangsaan ketika kejohanan Piala AFF 2020 yang mana dia memperolehi dua gol peribadi.
Meskipun ia adalah pandangan tidak adil, kegagalan Sri Pahang FC untuk mengenal pasti bakat pemain berkenaan perlu diberi perhatian melihat kepada kualiti barisan kejurulatihan dan pengurusan mereka.
Setakat ini, Kogi masih menunggu untuk mencatatkan penampilan pertama bersama Chungbuk Cheongju yang berada dalam divisyen kedua Korea Selatan.
5. Norhakim Hassan (Selangor FC)
Antara watak penting di sebalik kejayaan Perak FC pada 2018 ialah pemain sayap, Norhakim Hassan dengan kemampuannya untuk melakukan larian deras.
Bagaimanapun, seperti Nasir dan Shahrel, dia juga mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad TBG berikutan isu pengurusan dan kewangan, tetapi lebih awal berbanding yang lain.
Dia yang ketika itu berada di kemuncak kariernya menarik perhatian skuad Gergasi Merah yang pantas mendapatkan khidmatnya pada awal musim 2020.
Namun, kehadiran bintang-bintang bersama Selangor FC menyaksikannya semakin tersisih di samping hanya diberi peluang beraksi pada minit-minit akhir permainan.
Adakah Norhakim akan mendapatkan semula tempatnya musim ini? — Facebook/Selangor FC
Walaupun kehadiran Cheng Hoe hujung musim lalu menghidupkan semula kariernya, keputusan pihak pengurusan untuk mendapatkan pemain kebangsaan, Faisal Halim sekali lagi mengehadkan peluangnya bersama pasukan.
Setakat ini, pemain kelahiran Kuala Terengganu itu difahamkan tersisih daripada skuad utama berikutan masalah kecederaan yang dialaminya ketika Piala AFF 2022.
Persoalannya, dengan Faisal semakin menyerlah bersama juara 33 kali Piala Malaysia itu, adakah Nor Hakim juga bakal berdepan nasib seperti Shahrel untuk musim akan datang? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram