Selain Malik Mat Arif, ini 3 lagi bintang layak digelar 'supersub' 2023


  • Podium
  • Rabu, 29 Mac 2023

Malik (depan) digelar 'supersub' dalam kalangan penyokong Sri Pahang musim ini. — Facebook/SriPahang

ISTILAH 'supersub' membawa maksud pemain gantian yang berhasil mengubah perjalanan permainan sama ada dengan menjaringkan gol ataupun membuat perubahan keputusan permainan.

Walaupun mereka tidak mempunyai banyak minit untuk bermain, sesetengah pemain ini boleh menjadi senjata rahsia dalam keadaan kritikal, sekali gus memberi tonik tambahan untuk menjaringkan gol.

Musim ini, pemain sayap Sri Pahang, Malik Mat Ariff antara 'supersub' yang paling paling meraih perhatian selepas memberi persembahan terbaik meskipun hanya diturunkan sebagai pemain gantian.

Malik telah beraksi dalam setiap enam perlawanan termasuk satu aksi Piala FA musim ini dan pemain berusia 32 tahun itu dilihat menggunakan sebaik-baiknya peluang yang diberikan pengendali, Fandi Ahmad setiap kali dibawa masuk ke padang.

Biarpun belum ada penampilan di dalam kesebelasan utama, Malik setakat ini telah mengumpul dua jaringan, masing-masing satu dalam Liga Super dan Piala FA.

Selain daripada wira Sri Pahang itu, terdapat tiga lagi pemain Liga Super yang layak digelar 'supersub' 2023 selepas memberikan persembahan terbaik dalam lima perlawanan.

1) Jonathan Balotelli

WhatsApp Image 2023-03-28 at 22.54.36

Balotelli sebelum ini pernah menyarung jersi Jeonnam Dragons. — Facebook/KDAFC

Dengan pengalaman bersama kelab divisyen dua Korea Selatan, Jeonnam Dragons, tonggak import baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Jonathan Balotelli dibawa masuk bagi mengisi posisi penyerang untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Ketajaman Balotelli yang kini berusia 33 tahun itu ditagih bagi menjadi senjata pemusnah Sang Kenari dan pemain dari Brazil itu juga akan berganding dengan seorang lagi penyerang import, iaitu William Lira.

Ballotelli tidak menghampakan penyokong Sang Kenari apabila dia menunjukkan kemampuannya sebagai penyerang import kedua dengan menyumbang satu jaringan gol buat pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu.

Pemain gantian KDA FC itu membuat debut idamannya apabila berjaya meledak gol sulungnya pada minit akhir ketika perlawanan menentang Perak FC untuk menambah derita tuan rumah.

2) Stuart Wilkin

WhatsApp Image 2023-03-28 at 22.54.22

Stuart juga pernah diturunkan sebagai kesebelasan utama musim ini. — Facebook/SabahFC

Selepas beraksi selama semusim bersama Sabah FC, tonggak tengah Stuart Wilkin akhirnya menjadi pemain secara tetap yang sebelum ini berstatus pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT).

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi antara tonggak utama pasukan Sabah musim 2022 apabila berjaya menjaringkan dua gol menerusi 18 penampilannya bersama skuad The Rhinos.

Meskipun musim ini, pemain kacukan England-Malaysia itu banyak diturunkan sebagai pemain gantian namun Stuart tetap beraksi dengan baik dan sempat membuat satu jaringan gol buat pasukan The Rhinos.

Jika dibandingkan dengan musim lalu, Stuart lebih banyak diturunkan sebagai kesebelasan utama sehingga berjaya menarik minat pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Stuart membuat debut pertamanya berada Harimau Malaya pada kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

3) Danial Asri

WhatsApp Image 2023-03-28 at 22.54.51

Musim ini Danial Asri sudah mencetak satu jaringan gol buat Selangor FC. — Facebook/SelangorFC.

Bekas Ketua pasukan Piala Belia Selangor, Danial Ahmad Asri menjadi antara pemain gantian yang sering menjadi bualan para penyokong skuad Gergasi Merah kerana pemain berusia 22 tahun itu selalu memberi prestasi terbaik.

Musim lalu, Danial Asri muncul penyelamat buat skuad Gergasi Merah apabila dia berjaya memecahkan kebuntuan menerusi tandukan mudah, sekali gus memastikan Selangor menang 1-0 ke atas Petaling Jaya City FC dan membawa pulang tiga mata berharga dalam aksi Liga Super.

Penyerang muda Selangor itu musim ini membuat kejutan lagi apabila menambah derita buat skuad Kuching City apabila meledak gol kelima pada minit ke-73 menerusi rembatan padu kaki kanannya.

Hasil jaringanya itu menyaksikan skuad Gergasi Merah mencatat kemenangan 5-0 di gelanggang lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram