Menyerlah berdepan JDT, fans TRW risau anak jati Pasir Mas ada potensi kena sambar


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Muhaimin ketika beraksi menentang JDT di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu. — Facebook/TRWKelantanFC

DI sebalik kekalahan besar 5-1 yang dialami ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu, ia tidak terus mematahkan semangat penyokong Kelantan FC untuk pasukan tersebut bersaing di Liga Super 2023.

Sebagai pendatang baharu liga pada musim ini, keputusan direkodkan ketika menentang gergasi kelab bola sepak negara itu bukan sesuatu yang mengejutkan.

Apatah lagi skuad Harimau Selatan dilihat seakan-akan dalam momentum terbaik selepas menewaskan Negeri Sembilan FC dengan jaringan 7-0 dalam perlawanan sebelumnya.

Disebabkan itu, kekalahan dialami itu tidaklah mematahkan semangat penyokong setia The Red Warriors (TRW).

Malah, terdapat beberapa aspek positif yang dikenal pasti oleh pemminat Kelantan FC ketika perlawanan tersebut.

Antara menjadi perhatian adalah aksi ditonjolkan sayap kiri pasukan itu, Muhaimin Izuddin Muhd Asri yang tampil sebagai pemain gantian pada minit ke-60 dalam permainan itu.

Berusia 21 tahun, Muhaimin yang juga dipanggil dengan gelaran 'Qomi' itu menjadi individu yang mencetuskan gerakan serangan ke kubu JDT sehingga menghadiahkan sepakan penalti buat Kelantan FC dan membolehkan pasukan memperoleh jaringan tunggal perlawanan.

Dalam aksi tersebut, Muhaimin dilihat berjaya menggelecek melepasi beberapa pemain JDT di bahagian tengah sebelum melorongkan bola kepada penyerang Ismaheel Akinade yang kemudiannya dijatuhkan oleh penjaga gol pihak lawan.

Kelantan FC

Muhaimin (kanan) merupakan pemain mencetuskan gerakan serangan yang menghadiahkan penalti kepada pasukan TRW dalam perlawanan menentang JDT, pada Sabtu. — Facebook/TRWKelantanFC

Untuk rekod, TRW menjadi pasukan pertama yang berjaya membolosi gawang skuad Harimau Selatan pada musim ini selepas mengarungi empat perlawanan liga.

Affenddy Mohamad berkata, "Qomi ini ada keupayaan kawal bola, mengelecek dan membuat hantaran baik.

"Dia juga bagus dalam membuat percubaan ke pintu gol lawan. Tak salah mencuba Qomi untuk sepenuh masa 90 minit. Berikan beliau ruang untuk tunjukkan kebolehannya."

Dalam empat aksi pertama Liga Super musim ini, Muhaimin yang merupakan bekas pemain Skuad Projek FAM-NSC itu tampil sebagai pemain gantian dalam kesemua perlawanan tersebut.

Dengan aksi baik ditonjolkan pemain tersebut, ada penyokong melahirkan kerisauan terhadap kemungkinan pasukan lain mula mengintai untuk mendapatkan khidmat anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu.

Menurut mereka, pada beberapa musim lalu, Kelantan FC sering kali melepaskan pemain muda yang mula menunjukkan potensi positif di dalam pasukan kepada kelab lain.

"Pengurusan kena belajar dari kesilapan tahun lepas apabila melepaskan terlalu ramai tenaga muda yang berbakat kepada pasukan lain atas maksud keuntungan," kata Mohd Hafizal Ibrahim.

Turut bersetuju dengan komen tersebut ialah Mohd Yakob yang menulis," betul apa yang ditimbulkan itu, nak sediakan pasukan dalam permainan semusim tak boleh.

"Dah tak boleh lepaskan pemain muda yang berkebolehan demi wang. Budak-budak inilah yang akan bawa pasukan pada musim seterusnya di samping pemain import berkualiti," ujarnya.

WhatsApp Image 2023-03-12 at 9.36.02 PM

Danial (kiri) dan Mior merupakan antara bakat muda TRW yang berhijrah keluar daripada pasukan selepas mula menunjukkan prestasi cemerlang bersama Kelantan FC. — Facebook

Lebih menyedihkan, penghijrahan pemain muda tersebut untuk menyertai pasukan lain dilihat tidak membantu perkembangan karier masing-masing apabila mereka tidak mendapat minit permainan kompetiti yang diperlukan.

Antara bintang muda dilahirkan Kelantan FC, menjadi sebutan penyokong TRW sebelum ini ialah dua bekas pemain tengah pasukannya iaitu Danial Haqim Deraman dan Mior Dani Armin yang masing-masing berusia 24 tahun.

Danial Haqim yang pernah membuat penampilan bersama Kelantan pada tahun 2018 dilihat gagal mencapai prestasi diharapkan selepas berhirah menyertai JDT pada penghujung musim 2020.

Beliau juga dilihat hanya berjaya membuat penampilan bersama skuad JDTII pada musim lalu.

Sementara itu, Mior Dani pula yang kini beraksi bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas dipinjamkan ke Sri Pahang FC pada musim juga masih gagal untuk menembusi skuad utama skuad Hijau Kuning pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram