Atlet Malaysia Sukan SEA dilapor dapat makanan 'lebih rahmah dari menu rahmah'


Gambar makanan atlet kebangsaan Sukan SEA 2023 yang dikongsikan Haresh di Twitter.

AMALAN pemakanan yang kaya dengan zat dan nutrisi penting untuk memastikan seseorang atlet berada pada tahap prestasi terbaik.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang beraksi di kejohanan peringkat antarabangsa.

Namun, lain pula jadinya dengan atlet Malaysia yang kini mewakili negara di Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja apabila mereka didakwa diberi makanan yang kurang seimbang.

Keadaan mengejutkan itu dikongsikan oleh Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Haresh Deol menerusi ciapannya di Twitter pada Ahad.

Menurut perkongsian itu, Haresh yang juga merupakan wartawan sukan dengan lebih 20 tahun pengalaman memuat naik gambar memaparkan atlet kebangsaan hanya diberi makan nasi putih, sumber protein, betik dan tembikai.

"Dimaklumkan bahawa hidangan bungkus ini didakwa dihidangkan kepada atlet Malaysia yang berpangkalan di Hotel Himawari di Phnom Penh.

"Jelas sekali bukan diet seimbang. Harap Ketua Kontinjen (CDM) dimaklumkan, menyiasat dakwaan dan membangkitkan perkara ini kepada penganjur," katanya.

Dalam perkembangan terkini mengenai isu tersebut, Haresh memberitahu, pihak penganjur telah mengambil maklum akan perkara itu dan sudah menambah baik makanan dan perkhidmatan yang disediakan.

"Bagaimanapun, perkara ini akan dibangkitkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kemboja yang akan datang," tegasnya.

Suasana sekitar majlis pembukaan Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo Phnom Penh yang berlangsung pada Sabtu.

Ciapan itu mendapat pelbagai reaksi warganet, antaranya pengguna akaun Twitter dengan nama Ahirulahirudin berkata bahawa hal seperti itu tidak seharusnya berlaku dan langsung tidak boleh diterima.

"Bukan hanya atlet, bahkan ini bukan diet yang baik untuk sesiapa pun. Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sediakan hidangan yang lebih baik daripada ini," ujarnya.

"Orang nak anjur sukan, mereka pun nak anjur. Pembukaan meriah, makanan macam ni saja," kata Kvi Hozumi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram



Lebih Pilihan