CABARAN skuad negara pada kempen Sukan SEA tahun ini berakhir di peringkat kumpulan selepas ditewaskan dengan keputusan 1-2 di tangan juara bertahan pada aksi kumpulan B di Stadium Prince, Phnom Penh, Kemboja pada Isnin.
Dalam perlawanan tersebut, Vietnam tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Nguyen Van Tung menyudahkan percubaan susulan selepas sepakan penalti yang diambil pada mulanya berjaya ditepis keluar penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Selang beberapa minit kemudian, Vietnam sekali lagi membolosi pintu negara menerusi Van Tung Nguyen hasil tandukan selepas menerima hantaran lintang Vo Minh Trong pada minit ke 33 permainan.
Jaringan pasukan negara akhirnya tiba di penghujung separuh masa pertama selepas Mohd Aiman Afif Mohd Afizul merembat masuk bola muntah yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Vietnam, Van Chuan Quan.
Keputusan itu kekal hingga ke wisel penamat yang sekali gus menyaksikan pasukan negara terus kempunan untuk mendapatkan ibu segala pingat dalam kejohanan kali ini.
Skuad negara gagal menembusi ke gawang lawan di separuh masa kedua yang menyaksikan keputusan 1-2 kekal hingga tamat perlawanan. — Facebook/FAM
Bertitik tolak daripada itu, sesetengah pihak mula mendakwa percaturan serta perancangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang merehatkan saingan Liga Super bagi memberi laluan kepada pemain mewakili ke Sukan SEA, sebagai satu tindakan kurang bijak.
Tidak dibarisi pemain-pemain ternama seperti Arif Aiman, Ramadhan Saifullah, Luqman Hakim dan beberapa lagi individu lain yang lebih berpotensi, penangguhan saingan liga ketika ini dilihat hanya merugikan pengurusan kelab apabila momentum pasukan akan sedikit terjejas dengan 'cuti' yang diberikan.
Berpendapat bahawa pemain di saingan MFL lebih layak diberikan peluang untuk ke Sukan SEA, kancah bola sepak tanah air akan lebih meriah sekiranya pemain muda negara turut diberikan pendedahan di peringan Asia Tenggara.
"Bukannya pemain utama Liga Super yang terpilih ke Sukan SEA, kalau nak tangguh sangat baik buat pada skuad MFL, ini pergi kacau liga utama buat apa, momentum pasukan dan pemain dah terganggu," kata Mohammad Razman Abd Rahim.
"Habis tu apa tujuan liga MFL tu diadakan kalau pengurusan tak gunakan bakat yang ada, sepatutnya beri peluang mereka beraksi di Sukan SEA bukan kacau liga utama," jelas Husyairi Iman.
"Rugi je tangguh Liga Super, ingatkan panggil la pemain yang cukup syarat macam Arif Aiman ataupun Fayadh Zulkifli ke, tapi tak ada pun, sudahnya pemain bila cuti lama persembahan pun merudum nanti," tambah Shahrul Amin.
Cadangan untuk menghantar pemain muda simpanan negara di temasya sukan dwi-tahunan itu secara tidak langsung dijangka mampu menaikkan lagi kualiti serta tahap keyakinan pemain dalam saingan MFL yang diketahui masih kekurangan dari segi pendedahan serta saingan.
Dengan cara itu, kancah bola sepak tanah air juga akan menjadi lebih meriah sekiranya kedua-dua aksi berjalan serentak yang pastinya akan membuka lebih banyak peluang untuk pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dalam membuat pemilihan pemain yang terbaik bagi persiapan ke Sukan Asia nanti.
Anak-anak buah E. Elavarasan masih mempunyai baki satu perlawanan lagi di peringkat kumpulan iaitu bertemu Singapura pada 11 Mei nanti namun, sebarang kemenangan tidak akan mengubah nasib Malaysia yang sudah pun disahkan tersingkir dalam temasya kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram