'Ryuji Sato' kembali semula dengan nada sinis 'membahan' penyingkiran skuad B-22 di Kemboja


  • Podium
  • Selasa, 09 Mei 2023

Ryuji Sato pernah mencetuskan kontroversi ketika aksi Piala AFF 2022 menentang Vietnam Januari lalu. — Agensi

KEKALAHAN di tangan Vietnam pada Isnin meletakkan tanda noktah terhadap perjuangan skuad bola sepak Bawah 22 tahun (B-22) negara dalam Sukan SEA Kemboja.

Selepas memulakan kempen dengan kemenangan 5-1 ke atas Laos, kegagalan untuk mengumpul sebarang mata dalam dua aksi berikutnya menyimpulkan nasib pasukan itu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Visakha, Phnom Penh, Kemboja, skuad kendalian E Elavarasan ketinggalan dengan dua gol seawal minit ke-33.

Meskipun terdapat usaha untuk mengecilkan jurang menerusi gol Aliff Izwan Yuslan, disiplin pertahanan pihak lawan menyukarkan skuad negara sehingga wisel penamat ditiupkan.

Namun, apa yang semestinya menjadi bahan bualan adalah mengenai dua layangan kad merah yang diberikan kepada wakil negara memasuki minit-minit akhir permainan.

Pemain gantian, Safwan Mazlan serta penyerang muda, Najmuddin Akmal menjadi 'mangsa' dalam pertembungan itu, yang mana sekali gus merencatkan perancangan pasukan.

345576016_787214639363332_7037813734198677051_n

Najmuddin (kiri) merupakan antara yang dilayangkan kad merah dalam aksi menentang Vietnam. Facebook/FAM

Tumpuan pastinya diberikan kepada kesilapan kedua-dua individu tersebut yang dikatakan sebagai antara faktor utama pasukan kebangsaan terpaksa pulang awal.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang orang ramai, terutamanya penyokong bola sepak tanah air untuk meletakkan kesalahan tersebut di bahu pengadil perlawanan, Jumpei Iida.

Pengadil yang berasal dari Jepun tersebut dikatakan tidak memberi perhatian penuh dalam pertembungan hangat itu, lebih-lebih lagi apabila terdapat kekasaran daripada pemain Vietnam.

Tambahan pula, layangan kad merah terhadap Safwan dirasakan terlalu terburu-buru dengan ada yang menganggap keputusan berkenaan berat sebelah.

Lebih menarik lagi, perkara itu sepertinya menyebabkan mimpi ngeri penyokong tempatan dalam aksi Piala AFF 2022 apabila isu pengadilan memainkan peranan ketika penyingkiran Harimau Malaya.

Senario sama seakan-akan berulang yang mana pasukan negara ketika itu bertemu Vietnam di peringkat separuh akhir dengan pengadil, Ryuji Sato mengadili perlawanan berkenaan.

Meskipun dilihat tiada hubungan rapat antara kedua-dua pengadil terbabit, ia tidak menghalang spekulasi daripada menular di media sosial yang mengaitkan mereka.

61b834c2-04e0-4e6c-b3c6-1ecad3093d95

Mutu pengadilan Jumpei Iida terus dipersoalkan. Agensi

Tidak cukup dengan itu, sebuah laman Facebook yang menggunakan nama serta foto Ryuji Sato kembali memberi respons penyingkiran skuad B-22 negara.

Dalam beberapa hantaran yang dibuat pada Isnin, pengguna tersebut seakan-akan dengan sengaja 'mengusik' penyokong Harimau Malaya, termasuk ketika dua layangan kad merah dibuat.

"Kad merah kedua kepada Malaysia, kesemua layangan kad diberikan selepas kekasaran dibuat ke atas (Nguyen) Thanh Han," tulisnya sambil menyertakan foto Najmuddin.

Jadi, tidak hairanlah apabila ruangan komen di laman Facebook itu dibanjiri peminat setia skuad muda negara dengan ada yang mempersoalkan dalang di sebalik akaun tersebut.

"Wah, Ryuji. Terima kasih di atas kemas kini yang sering dibuat mengenai bola sepak Malaysia. Tidak tahu pula anda mengekori kami dengan rapat," kata Jason Tan.

"Mengapa Ryuji terlalu sibuk untuk memberi perhatian di atas isu ini? Ini bukanlah perlawanan yang berkait dengan anda," kata Muhaimin Samad.

Ryuji sebelum ini menjadi bahan bualan hangat selepas mutu pengadilannya dipersoalkan, lebih-lebih lagi ketika layangan kad merah ke atas bek kanan negara, Azam Azmi Murad.

Pasukan kendalian Elavarasan selepas ini bakal bertemu Singapura dalam usaha untuk sekurang-kurangnya menamatkan peringkat kumpulan di tangga ketiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram