SUKAN SEA 2023 yang pertama kali berlangsung di Kemboja menjadi tular di media sosial susulan daripada beberapa kejadian.
Kejohanan terbesar di Asia Tenggara itu dibuka secara rasmi pada Jumaat lalu apabila kira-kira 6,210 atlet dari 11 negara dari benua tersebut berkampung di Kemboja sehingga 17 Mei untuk bersaing dalam 584 acara, melibatkan 36 jenis sukan.
Walaupun begitu, beberapa acara sukan telah mula dipertandingkan sejak 29 April lalu dan salah satu daripadanya ialah bola sepak.
Sejak perlawanan pertama dipertandingkan, beberapa kejadian tular Sukan SEA 2023 yang menjadi bahan bualan warganet khusnya masyarakat di Indonesia.
Persediaan Kemboja sebagai tuan rumah bagaimanapun menjadi perhatian kerana tiga detik tular di media sosial Indonesia sehingga mempersoalkan kredibiliti negara itu sebagai penganjur.
1) Kerusi Jemputan
Keadaan bilik persalinan Indonesia. — Agensi
Pada perlawanan pertama bola sepak, Kemboja sudah menjadi tumpuan berikutan bilik persalinan pemain pasukan kebangsaan Indonesia Bawah-22 dianggap kurang selesa.
Tidak seperti kebanyakan bilik persalinan stadium, kerusi plastik yang biasa digunakan untuk menerima tetamu pada majlis keraian atau jemputan menghiasi bilik persalinan skuad Garuda Muda.
Bukan itu sahaja, pegawai skuad kebangsaan Indonesia terpaksa melekatkan bendera mereka dengan pita pelekat di dinding.
Selain itu, papan tanda bilik skuad kebangsaan Indonesia di Stadium Olimpik, Phnom Penh juga dilekatkan menggunakan pita pelekat.
2) Bendera Terbalik
Bendera Indonesia diletakkan terbalik ketika sesi pembukaan. — Agensi
Sebagaimana negara di rantau Asean, Indonesia, Kemboja dan lain-lain pastinya sudah mengenali antara satu sama lain namun kesilapan besar seperti bendera terbalik masih berlaku.
Hal itu terjadi dalam acara menjelang upacara pembukaan Sukan SEA pada Jumaat yang mana beberapa bendera Indonesia diletakkan dalam keadaan terbaik.
Malah, Vietnam turut mengalami situasi yang sama seperti Indonesia.
Kejadian tersebut menjadi tular di media sosial Indonesia dan juga beberapa negara Asean sehingga Menteri Sukan Kemboja itu terpaksa memohon maaf secara langsung kepada Indonesia.
3) Lampu Kereta
Tangkap layar acara penyerahan pingat yang sepatutnya meriah buat atlet jalan kaki. — Agensi
Insiden paling menyedihkan terjadi ketika sesi penyerahan pingat acara jalan kaki 20 km lelaki pada Sabtu yang mana menyaksikan atlet Indonesia, Hendro Yap memenangi emas.
Perlumbaan untuk salah seorang peserta acara tersebut berakhir pada sebelah petang dan langit sudah mula gelap.
Pihak penganjur bagaimanapun seolah-olah tidak bersedia dengan keadaan tersebut sehingga ketika sesi penyerahan pingat tidak dilengkapi lampu.
Berdasarkan video yang berdurasi 17 saat itu, lampu kereta digunakan menerangi ketiga-tiga pemenang pingat acara jalan kaki namun cahaya tersebut tidak mampu menampung keadaan sekeliling.
“Masa majlis tu pun dah pelik, macam mana tak ada lampu jalan atau lampu putih macam tu. Amat terkejut kerana jawatankuasa kelihatan tidak bersedia langsung. Saya juga sangat kecewa, sudah tentu, kerana saya rasa seperti diabaikan. Hahaha," kata Hendro Yap kepada CNNIndonesia.com. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram