Kita bukan tak bagus, memang patut pergi final — Elavarasan


  • Podium
  • Selasa, 09 Mei 2023

Najmudin Akmal Kamal Akmal (kiri) dilayangkan kad merah pada minit ke-82 pada aksi menentang Vietnam. — Facebook/FAM

PENGENDALI skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan, E. Elavarasan seakan tidak dapat menerima kenyataan bahawa pasukan bimbingannya tersingkir daripada saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023.

Peluang skuad Harimau Muda untuk mara ke peringkat separuh akhir tertutup selepas tewas 1-2 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Prince di Phnom Penh, Kemboja pada Isnin.

Beliau berkata, dengan kualiti permainan yang ditunjukkan anak buahnya ketika menentang juara bertahan Vietnam itu, sepatutnya Malaysia layak beraksi di pentas final.

"Kita memang sasar untuk sekurang-kurangnya pergi ke perlawanan akhir, dari standard yang kita tunjuk tadi sepatutnya kita berada di sana (final). Kadang-kadang dalam keadaan sebegini kita kena terima keputusan-keputusan dibuat oleh pihak lain.

"Kadang-kadang kita kena terima yang kita main bagus, bukan tak bagus. Kita tak dapat menjaringkan gol bila kita ada peluang jadi kita terpaksa terima yang kita tersingkir,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Phnom Penh.

Kekalahan pada Isnin itu menyaksikan perjalanan skuad B-22 pada Sukan SEA kali ini berakhir setelah gagal melepasi sainganperingkat kumpulan dengan hanya mengumpul tiga mata daripada tiga perlawanan iaitu menang 5-1 ke atas Laos dan tewas 0-2 di tangan Thailand.

ela

Elavarasan menegaskan kualiti permainan yang ditunjukkan anak buahnya membuktikan Malaysia layak beraksi di pentas final. — Facebook/FAM

Vietnam pula yang mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan anak buah Elavarasan, akan mengiringi Thailand ke pusingan kalah mati selepas kedua-duanya berkongsi sembilan mata di kedudukan teratas.

Walaupun kecewa skuad bimbingannya gagal mencapai sasaran layak ke final seperti ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Elavarasan masih berbangga dengan elemen positif yang ditunjukkan para pemain.

"Saya jarang tengok Sukan SEA tetapi ini pertama kali saya bawa pasukan, jadi pada saya boleh nampak DNA skuad senior itu boleh dicapai ataupun dicapai pada masa akan datang untuk pemain dinaikkan ke skuad senior,” katanya

Mengulas lanjut, Elavarasan berkata, pasukan masih perlu memberikan tumpuan dan mempamerkan persembahan terbaik ketika menentang Singapura pada baki aksi kumpulan menentang Singapura Khamis ini.

Dengan tersingkirnya pasukan negara, anak buah Elavarasan mengulangi episod 2019 di Manila, Filipina, selepas ‘pulang’ awal apabila menamatkan saingan kumpulan di kedudukan keempat. Edisi 2021 di Hanoi, Vietnam tahun lepas, Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas meraih perak sementara kali terakhir merangkul emas pada edisi 2011 di Indonesia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram