'I feel like home', peledak TRW pasang 2 azam sempena Ramadan


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Aksi Ismahil ketika menentang Kuala Lumpur City FC baru-baru ini. — TRW Kelantan FC

SAMBUTAN Ramadan yang bermula Khamis sudah pasti memberi keterujaan buat umat Islam seluruh dunia, yang mahukan segala amal ibadat pada bulan itu dipertingkatkan dan diterima selain memohon keampunan daripada segala dosa.

Pada bulan itu, setiap negara mengamalkan budaya berbeza termasuk dari segi juadah berbuka puasa dan cara sambutan Ramadan.

Di Malaysia, para peniaga makanan tidak melepaskan peluang untuk menjual juadah di bazar Ramadan, yang selalunya terkenal dengan murtabak, nasi kerabu, kuih tepung pelita dan sebagainya.

Bercakap mengenai pengalaman pertama kali menjalani ibadah puasa di negara ini, Ismahil Akinadee berasa teruja dan selesa disebabkan keramahan rakyat Malaysia.

Penyerang Kelantan FC dari Nigeria itu berkata, dia mahu berpuasa penuh di negeri Kelantan.

"I feel like a home (Saya berasa seperti di rumah)," katanya menerusi satu temubual yang dimuat di laman Facebook TRW Kelantan FC.

Nuha-Marong-Kervens-Belfort-Ismahil-Akinade

Ismaheel (kanan) bersama dua lagi import Kelantan FC. — TRW Kelantan FC

Ketika ditanya mengenai menu Kelantan kegemarannya, dia mengakui masih belum mengingati nama makanan tersebut tetapi akan mencuba makanan dan perkara baharu di negara ini.

Ismahil berkata, dia tidak banyak menghabiskan bulan-bulan Ramadan di Nigeria kerana dia masih muda ketika itu.

Namun, katanya, dia lebih selesa menyambut bulan puasa di sana kerana terdapat komuniti Islam yang besar.

Di Ireland, pemain berusia 29 tahun itu berkata, suasananya kurang meriah kerana hanya dia menyambut Ramadan bersama keluarganya, berikutan ia bukan merupakan negara Islam.

"Pada 2017, saya terpaksa melakukan pembedahan membuang limpa. Sejak itu, saya tidak boleh memberi tekanan 100 peratus kepada badan saya.

"Tetapi saya cuba berpuasa sebanyak mana yang saya mahu," tambahnya.

336319881_1367096907422158_5567374589494354057_n

Ismahil teruja menyambut bulan Ramadan di negara ini. — TRW Kelantan FC

Mengulas lanjut, Ismahill berkata, dia menyasarkan Kelantan FC supaya boleh bermain empat perlawanan di padang pihak lawan (away games) selain mahu mengumpul lebih banyak mata.

"Bila kami pulang ke Kelantan, kami mahu stadium penuh dan semua memberi sokongan kepada kami.

"Sudah tentu bukan mudah untuk melakukan perlawanan dalam tempoh empat minggu, tetapi kami akan mencuba yang terbaik untuk mendapatkan lebih banyak mata. Saya harap boleh bertemu anda di padang kelak," tambahnya.

Kelantan FC kini berada di tangga kesepuluh dalam Liga Super, selepas mengutip empat mata, hasil daripada satu kemenangan daripada lima perlawanan.

Sepanjang bulan Ramadan, Kelantan FC akan bertemu dengan Negeri Sembilan FC pada 1 April, Terengganu FC (4 April), Selangor FC (9 April), dan Sabah FC (19 April). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram