Pertama kali berpuasa di Malaysia, 3 tonggak import tentu teruja ke bazar Ramadan, biasakan diri cara Melayu


  • Podium
  • Khamis, 23 Mac 2023

Kulmatov (kanan) antara pemain Muslim baharu pada musimi ini. — Instagram/Kulmatov

TATKALA umat Islam teruja menyambut bulan Ramadan, pemain bola sepak juga tidak terkecuali dan tentu sekali mahu menyempurnakan ibadah tersebut meskipun dalam keadaan hari yang penuh dengan sesi latihan.

Bagi pemain tempatan dan tonggak import yang sudah berpengalaman berpuasa di Malaysia pasti tiada masalah untuk menyesuaikan diri namun lain pula cerita dengan awang import yang pertama kali menjalani ibadah itu di negara ini.

Pelbagai aspek perlu dititikberatkan oleh tonggak import baharu agar dapat membiasakan diri untuk berpuasa di Malaysia, antaranya aspek budaya, tempoh berpuasa serta makanan.

Sebelum ini ramai pemain import yang pernah berkongsi pengalaman mereka berpuasa di tanah air dan antara kisah mencuit hati adalah keterujaan melihat kepelbagaian juadah berbuka puasa di Malaysia.

Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain import baharu musim 2023 yang pertama kali melakukan ibadah puasa di Malaysia dan paling menarik jika semuanya ke bazar Ramadan.

1) Noor Al-Rawabdeh (Selangor FC)

rawabdeh

Rawabdeh kini mengemudi bahagian tengah Gergasi Merah. — Facebook/Selangor.

Noor Al-Rawabdeh merupakan import baharu Gergasi Merah yang diterbangkan dari Jordan untuk memperkukuh bahagian tengah Selangor FC pada musim ini dan kehadiranya semakin memberi impak buat pasukan Lembah Klang itu.

Setakat ini, pemain yang dikenali dengan jolokan sebagai ‘engineer’ itu merekodkan tiga jaringan gol dalam empat perlawanan untuk pasukan bimbingan pengendali, Tan Cheng Hoe.

Selepas cuba menyesuaikan diri dengan gaya permainan di tanah air, Rawabdeh juga akan diuji sekali lagi iaitu berbuka dengan perbezaan juadah yang mana jika di Jordan terhidang dengan makanan berasaskan rempah.

Seperti perkongsian masyarakat Jordan sebelum ini, beberapa kurma, tomato, sup 'Rashoof' atau kuah kacang dhal, selain 'Lazakiyat' dan 'Al-Mutabaq' (kedua-duanya sejenis roti atau pastri Arab) untuk berbuka.

Namun jika Malaysia, pemain berusia 25 tahun itu akan mengubah diet buka puasanya dengan lebih kemelayuan iaitu hidangan seperti nasi lemak dan murtabak sebagai pengganti

Manakala, perbezaan antara masa di Jordan dan Malaysia adalah lebih kurang sama dengan tanah air iaitu selama 13 jam.

2) Sardor Kulmatov (Terengganu FC)

kulmatov

Kulmatov antara tonggak import TFC pada musim ini. — Facebook/TFC

Tonggak Uzbekistan, Kulmatov menjadi pemain import keempat dibawa masuk Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi kancah Liga M dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini.

Bekas pertahanan kelab PFC Sogdiana dalam Liga Uzbekistan itu mengikat kontrak selama setahun bersama skuad Penyu dan kini sudah muncul dalam lima perlawanan dengan merekodkan satu gol untuk TFC.

Kulmatov pertama kali berpuasa di Malaysia juga terpaksa melupakan hidangan seperti nisalda iaitu roti yang menjadi makanan wajib pada bulan Ramadan dalam kalangan warga Uzbekistan.

Selain itu, pemain berketinggian 1.85 meter tersebut juga akan cuba untuk bersahur sebelum azan Subuh berkumandang berbanding perbezaan selama satu jam di negara asalnya iaitu pada pukul 5:10 pagi.

3) Ismahil Akinade (Kelantan FC)

Untitled design - 1

Ismahil dibawa masuk dari Nigeria untuk memperkukuhkan bahagian serangan Kelantan. — Facebook/TRW

Penyerang import Kelantan FC, Ismahil Akinade menjadi taruhan baharu pasukan di jentera serangan yang mana dia mempunyai pengalaman luas dalam Liga Ireland bersama Waterford FC, Bohemian FC dan Bray Wanderers FC dengan jumlah keseluruhan 35 gol serta 25 bantuan jaringan.

Musim ini, Ismahil semakin menunjukkan taringnya dengan merekodkan satu jaringan dan dua bantuan gol selepas tiga perlawanan pemain berusia 29 tahun itu diturunkan bersama Kelantan FC.

Pertama kali berpuasa di Malaysia ini menyaksikan Ismahil yang berasal Nigeria itu tentu akan merindukan Pap dan Akara iaitu makan kegemaran bersahur. Akara adalah kek kacang goreng yang dipenuhi protein yang dapat mengekalkan tahap tenaga sepanjang hari berpuasa.

Bagaimanapin, perbezaan masa antara Nigeria dan Malaysia adalah lebih kurang sama dengan tanah air iaitu selama 13 jam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram