Elak dibanding dengan Keon, 'top scorer' Kelantan FC perlu kembali bangkit


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Nama Nurshamil disebut sebagai pemain tidak profesional dan memiliki prestasi yang kurang memuaskan penyokong di media sosial. — Instagram

NAMA penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abdul Ghani ‘dipetik’ selepas muncul dakwaan mengatakan dirinya tidak memiliki prestasi cemerlang dalam skuad The Red Warriors (TRW) musim ini.

Hal tersebut disuarakan oleh pengguna media sosial, Facebook, The Red Warriors yang menyifatkan pemain berusia 28 tahun itu perlu lebih agresif dan lebih profesional.

Luahan penyokong yang dikenali sebagai Rosman Ahmad Farouq mengatakan wujud perbezaan antara bekas pemain dengan pemain semasa TRW dalan skuad kendalian jurulatih, Choi Moon-sik.

“Tertengok satu live di TikTok sebelum ini antara bekas player (Kelantan) dengan seorang current player TRW. Jelas ada benda terbuku di hati player tersebut.

“Harap dia bersifat terbuka dan masih ada sifat teammate (berpasukan) yang tinggi,” katanya.

Meskipun peminat setia kelab Pantai Timur itu tidak menyebut pemain berkenaan secara jelas, tinjauan di ruangan komen mengatakan Nurshamil merupakan individu berkenaan.

294369925_5244263992326627_5255069367735711615_n

Penyokong mendakwa Nurshamil tidak memiliki kekuatan setanding dengan pemain import.

Tidak kurang daripada itu, penyokong juga mempersoalkan kebolehan Nurshamil beraksi di atas padang berbanding pemain import lain.

“Mentaliti pemain kita jauh berbeza dengan pemain Eropah. Sudah tahu kurang dapat minit permainan, usaha la sungguh-sungguh dan berikan yang terbaik.

"Tambahan sekarang ada ramai pemain import yang berkualiti. Jadi pandai-pandai la tunjukkan kelebihan masing-masing. Bukan tunjuk ayat dekat sosial media. Tidak profesional langsung,” kata Zuhairi Zakaria.

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang membandingkan kemampuan Nurshamil dengan Khairul Helmi Johari atau lebih dikenali sebagai Keon yang kini berusia 34 tahun.

“Dia jika diberi peluang bermain pun, tempoh 30 minit sudah tewas. Buat rugi ambil. Tengok seperti musim lepas, jarang dia bermain 90 minit. Jika hendak bandingkan dia dengan Keon, lebih baik Keon lagi walaupun sudah berumur,” kata Ahmad Fadli.

294132043_1220321518718333_6398643140899084967_n

Nurshamil dikatakan perlu mempertingkatkan kualiti permainan agar dapat ditempatkan dalam kesebelasan utama.

Musim lepas, Nurshamil merupakan antara watak utama yang membantu Kelantan FC menamatkan saingan Liga Perdana di tempat kedua dengan sembilan gol yang dijaringkannya.

Sumbangan itu menyaksikan pemain kelahiran Melaka itu dianugerahkan penjaring terbanyak bagi kategori tempatan liga bersama penyerang JDT, Daryl Sham.

Bagaimanapun, kehadiran dua import baharu, Nuha Marong dan Imsahel Akinade menyaksikan Nurshamil kehilangan tempat dalam kesebelasan utama.

Tidak cukup dengan itu, keputusan itu juga dikatakan berpunca daripada pendekatan taktikal ketua jurulatih, Choi Moon-sik yang mahu anak-anak buahnya beraksi dengan intensi berbeza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram