TRW kempunan khidmat Ikhwan Yazek, status 'to leave' Ringgo pula jadi tumpuan


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Ikhwan menjelaskan keadaan kecederaan lutut yang dialaminya kepada Norizam. — Facebook

KELANTAN FC mencuri satu mata berharga apabila terikat seri 2-2 dalam aksi Liga Super menentang KL City FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat lepas.

Skuad The Red Warriors (TRW) mempamerkan disiplin yang cukup baik dalam perlawanan tersebut. Pujian perlu diberikan kepada Fazrul Amir dan Ikhwan Yazek yang menjadi tonggak pasukan pada aksi berkenaan.

Malah Ikhwan mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi kerana tetap mahu beraksi meskipun ditimpa kecederaan pada minit ke-74.

WhatsApp Image 2023-03-20 at 21.13.58

Tangkap layar IG Story Ikhwan. — Instagram

Dalam perlawanan itu, Ikhwan yang dibawa keluar dari padang, dilihat cuba menahan kesakitan dan kembali masuk untuk menyertai rakan sepasukan, namun baru saja memulakan langkah, dia kembali terbaring gara-gara kecederaan serius yang dialami.

Status kecederaan Ikhwan menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong yang mahu mendapatkan perkembangan terkini keadaan pemain berusia 22 tahun itu, selepas tiga hari perlawanan berlangsung.

Ini selepas Ikhwan memuat naik Instagram Story keadaan kakinya yang berbalut dengan pendakap lutut dengan kapsyen berbunyi, "Last action."

Dia juga menyertakan emoji jam pasir seolah-olah memberi bayangan kecederaan yang dialami itu akan mengambil masa agak lama untuk sembuh sekali gus mungkin tidak dapat beraksi pada perlawanan akan datang.

Berikutan foto itu, ada penyokong Kelantan FC yang berasakan mungkin Ikhwan mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) yang kerap berlaku dalam kalangan atlet bola sepak.

Pemakaian pendakap atau penyokong lutut disyorkan ahli fisioterapi untuk membantu menstabilkan lutut semasa ia menyembuhkan daripada kecederaan dialami, malah ia harus dipakai sepanjang tempoh pemulihan.

337017690_123441540585389_2974625873213540416_n

Norizam (kanan) sempat melawat Ikhwan untuk melihat keadaan pemain itu. — Facebook

Jika kecederaan yang dialami Ikhwan agak serius, tentunya para penyokong kempunan untuk menyaksikan persembahan bakat muda yang semakin meningkat naik dalam saingan Liga Super musim ini.

Sementara itu, Kelantan FC dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan awal mendapati Ikhwan dikhuatiri mengalami kecederaan lutut di bahagian meniscus dan dijangka memerlukan rawatan lanjut.

"Kemungkinan besar kita terpaksa melupakan khidmatnya dalam beberapa perlawanan ke hadapan bagi proses rawatan dan pemulihan.

"Sama-sama kita doakan kesejahteraan Ikhwan supaya mendapat kesembuhan dengan lebih cepat dan kembali cergas untuk beraksi," katanya.

Sementara itu, seorang penyokong TRW, Fakrul Saripuddin berasakan pemain tengah menyerang, Danial Asyraf boleh menggantikan tempat Ikhwan.

"Hilang sayap lincah kita seorang. Semoga team dapat cari pengganti yang baik juga. Danial Asyraf nampak boleh main untuk cover tempat Ikhwan," katanya.

Wan Daniel pula berharap Norizam dapat membawa balik import, Indonesia, Natanael Siringoringo yang dipinjamkan ke Dewa United musim ini.

Berdasarkan transfermarkt.com, pemain yang popular dengan gelaran Ringgo itu kini berstatus 'to leave' yang mungkin menguatkan andaian dia akan dibawa pulang ke Kelantan FC untuk menggantikan Ikhwan kelak.

Sama-sama kita nantikan siapakah yang bakal mengambil alih posisi penting tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram