PASUKAN Kelantan FC ketika ini hangat dikritik penyokong susulan kekalahan demi kekalahan dialami menunjukkan betapa kelab itu masih tercari-cari rentak permainan dan keserasian pemain dalam saingan musim ini.
Lima perlawanan terdahulu menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) hanya berjaya menang satu perlawanan sahaja ketika menentang Penang FC selain dua kekalahan dan satu keputusan seri yang dicatatkan anak-anak buah Choi Moon-sik.
Di sebalik prestasi buruk yang dipamerkan, kekecewaan penonton kian pudar dan diubati dengan kelibat seorang pemain yang disifatkan sebagai permata dalam pasukan Kelantan susulan aksi cemerlang dan lincah dipamerkan dalam perlawanan sebelum ini.
Beraksi di posisi sayap kiri, Fazrul Amir Zaman semakin 'menggila' di atas padang dengan gaya permainannya yang dikatakan saling tidak tumpah seperti bekas penyerang sensasi TRW, Norshahrul Idlan Talaha satu ketika dahulu.
Berusia 23 tahun, bintang muda kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu mula mencuri tumpuan ramai menerusi gol yang dijaringkan ketika menentang Penang FC dalam perlawanan ketiga pasukan itu di Stadium Sultan Muhammad IV.
Bintang muda Kelantan FC, Fazrul Amir mula mencuri tumpuan menerusi aksi lincah dipamerkan atas padang. — Instagram/KelantanFC
Selain mencatatkan nama sebagai penjaring, Fazrul turut memecah kebuntuan dalam kariernya apabila berjaya meledak gol pertama bersama Kelantan FC selepas gagal melakukannya pada musim lalu.
Memulakan karier remajanya di PKNS FC, pemain itu kemudiannya berhijrah ke Kelantan United FC pada musim 2020 sebelum menyertai Kelantan FC pada jendela perpindahan yang lalu.
Memiliki kelajuan dan kawalan bola yang kemas, kelebihan Fazrul amat ditagih skuad Kelantan dengan kehadirannya dilihat sentiasa mengkucar-kacirkan benteng pertahanan pasukan lawan.
Dalam pada itu, rata-rata penyokong yang sudah mula meletakkan sandaran terhadapnya, kini semakin berkeras dan enggan melepaskan pemain itu ke pasukan lain khususnya Johor Darul Takzim (JDT) pada masa akan datang.
JDT yang terkenal sebagai sebuah pasukan berstatus elit yang dibarisi ramai pemain ternama negara dijangka terus memburu pemain berpotensi untuk musim akan datang.
Enggan berputih mata, salah seorang peminat TRW dikenali sebagai Cg Faris berpendapat, penghijrahan pemain ke Harimau Selatan tidak menjamin sebarang peningkatan sebaliknya boleh menghancurkan karier seseorang individu itu.
"Tak semestinya pergi JDT baru ada masa depan, berapa ramai pemain ke JDT musnah masa depan. Semua pada ALLAH, jadi pemain kena pergi ke pasukan yang ada pengurusan baik, minit permainan sangat penting untuk pemain muda," ujarnya.
"Gaji mahal tapi kalau kena simpan tak guna juga, cuba tengok Matyo dan beberapa lagi pemain di JDT, duduk Kelantan elok je main tapi bila ke JDT kena simpan, selepas itu bila kelab lain beli dah tak boleh main," kata Syakir Amin.
Norshahrul ataupun lebih dikenali sebagai Matyo merupakan bekas pemain sensasi Kelantan yang berhijrah ke JDT pada 2014 bersama dua lagi penyerang TRW iaitu Nurul Azwan Roya dan Daudsu Jamaluddin.
Namun, prestasi ketiga-tiga pemain itu serba tidak menjadi selepas keluar dari Harimau Selatan dan terus merudum selain kian dilupakan penyokong.
Peminat pasukan Kelantan ketika ini menyifatkan Fazrul sebagai pemain 'Not for sale', dengan pemain itu diharapkan agar terus berbakti dan mengasah bakatnya lebih lama di negeri kelahirannya.
Meletakkan sasaran untuk menjaringkan lebih banyak gol, pemain itu dikatakan mahu terus membantu pasukannya meraih mata dan kedudukan terbaik di carta liga musim ini.
Kelantan bakal meneruskan perjuangannya dengan perlawanan berikutnya menyaksikan pasukan itu akan bertemu dengan Negeri Sembilan FC pada 1 April nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram