BEBERAPA pasukan Liga Super ketika ini masih terumbang-ambing untuk mendapatkan rentak masing-masing dalam divisyen teratas bola sepak tempatan.
Antara pasukan itu ialah dua pasukan Liga Perdana, Kelantan FC dan Kelantan United FC dengan masing-masing terlalu mudah menggugurkan mata dalam lima perlawanan sebelum ini.
Skuad Kijang Hijau sebelum ini berada dalam prestasi terbaik sepanjang tempoh pramusim selepas membawa masuk beberapa import baharu.
Tidak cukup dengan itu, pihak pengurusan turut melantik bekas ketua jurulatih Penang FC, Thomas Trucha bagi membimbing pasukan Pantai Timur berkenaan.
Bagaimanapun, selepas lima perlawanan, mereka masih mencari kemenangan pertama dengan hanya satu mata berjaya dikumpul dengan mereka bergelut di hadapan pintu gol.
Trucha merupakan antara ketua jurulatih yang menerima tekanan ketika ini. — Facebook/Kelantan United FC
Sementara itu, permulaan yang kurang meyakinkan turut dialami Kelantan FC meskipun pasukan berkenaan sudah melakukan perbelanjaan besar-besaran sepanjang jendela perpindahan.
Kejayaan ke atas Penang FC merupakan satu-satunya kemenangan dicatatkan kelab itu, sekali gus menyaksikan mereka berada di kedudukan kesembilan ketika ini.
Jadi, terdapat kemungkinan bahawa Thomas atau ketua jurulatih skuad The Red Warriors (TRW), Choi Moon-sik akan digantikan walaupun baru lima perlawanan dilangsungkan.
Sekiranya khabar angin itu benar, bekas pengendali skuad kebangsaan Bawah 23 (B-23), Frank Bernhardt dikatakan sebagai pengganti terbaik melihat kepada pengalamannya sebelum ini.
Baru-baru ini, ura-ura berkenaan sekali lagi timbul selepas satu foto mula bertebaran di media sosial yang memaparkan jurulatih terbabit sedang menikmati makan malam di Kelantan.
Sekeping foto memaparkan Bernhardt menikmati makan malam dengan pembantunya. — Media sosial
Perkara tersebut dikongsikan seorang penyokong bola sepak tanah air, Aeman Rosly dengan menjangkakan terdapat perubahan ketua jurulatih selepas ini.
"Baru ni, ada dengar khabar angin. Nampak gayanya akan ada pengumuman baharu selepas ini. Coach Frank Bernhardt dengan pembantu dia makan Nasi Kukus Tepi Sungai, Kota Bharu, Kelantan," katanya.
Lebih menarik lagi, pengendali kelahiran Jerman itu dilihat bersama pembantunya yang dikatakan semirip dengan pemain Johor Darul Takzim (JDT), Guilherme de Paula.
"Dah kenapa de Paula jadi pelayan," kata Hasrul Aizat.
"Ingatkan de Paula jadi pelayan kedai mamak dah sekarang ni," kata Che M Saufi.
Selain mengendalikan pasukan simpanan Harimau Malaya, Bernhardt pernah mengendalikan UiTM FC pada 2020 yang ketika itu berada di Liga Perdana.
Bagaimanapun, dia dilihat tidak dapat memberi suntikan kepada mana-mana pasukan sehingga menyaksikan pihak pengurusan memilih keputusan menggugurkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram