Dilabel 'Harry Maguire' Pantai Timur, bekas kapten TRW kini dikritik penyokong


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Pasukan Kelantan FC masih bergelut untuk memburu kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/KelantanFC

SAINGAN Liga Super Malaysia musim ini kian hangat diperkatakan dengan aksi dan gaya permainan menarik ditampilkan oleh setiap pasukan dalam perlawanan yang diharungi.

Gandingan pemain import dan tempatan antara yang mencuri perhatian pada musim ini selepas rata-rata pasukan tampil dengan muka baharu dan jurulatih import yang turut dibawa masuk.

Namun begitu, skuad Kelantan FC ketika ini dilihat masih lagi bergelut untuk mendapatkan rentak dan taktikal serangan terbaik bagi merebut kejuaraan pada musim ini.

Ia susulan kekalahan demi kekalahan dialami oleh The Red Warriors (TRW) dalam dua aksi terdahulu yang menyaksikan pasukan itu kini berada di kedudukan kesepuluh carta liga dengan hanya satu kemenangan berjaya dicatatkan setakat ini.

Di sebalik aksi berpasukan yang kurang memberangsangkan, seorang pemain yang merupakan bekas pertahanan utama dan wira TRW musim lalu mula dikecam penyokong atas persembahan buruk dipamerkan.

Bekas kapten Kelantan, Yusri Yuhasmadi yang pernah menjadi pemain sandaran pasukan itu satu ketika dahulu kini semakin dikritik gaya permainannya susulan aksi merudum dipamerkan dalam perlawanan sebelum ini.

yusri

Bekas ketua pasukan Kelantan, Yusri Yuhasmadi semakin dikritik penyokong atas persembahan buruk dipamerkan. — Facebook/KelantanFC

Diturunkan dalam empat perlawanan pada musim ini, pemain pertahanan itu sebelum ini dikatakan antara prospek jangka masa panjang TRW kerana usianya yang masih muda selain turut memiliki pertahanan yang kental bagi mengekang asakan lawan.

Namun, aksinya pada musim ini kurang memuaskan selepas pemain itu dicop oleh penyokong sebagai pemain malas dan mudah hilang kawalan bola ketika menerima hantaran daripada rakan sepasukan.

Disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika menentang KL City FC, menunjukkan betapa Yusri seperti mula hilang arah apabila kerap kali membuat kesilapan ketika membuat hantaran dan bertahan.

Kurang bertenaga dan mudah hilang bola, merupakan antara kritikan yang dilemparkan terhadap pemain tersebut selepas pintu gol Kelantan berjaya dibolosi sebanyak dua kali dalam perlawanan berkenaan.

"Yusri tak tunjuk komitmen dan kesungguhan tinggi dalam perlawanan, tak buat tekanan dan takda ketenangan dalam mengawal bola dan tempoh serangan pasukan.

"Selalu sangat buat hantaran yang merugikan dan menyebabkan pasukan hilang bola sia-sia, bila bertahan pula dia tinggalkan pemain lain keseorangan di bawah, Yusri hanya berjalan dan tengok sahaja daripada jauh," ujar Fakrur Zaidin.

Dalam pada itu, segelintir peminat mula menyamakan Yusri dengan seorang pemain 'panas' yang beraksi bersama pasukan gergasi Eropah, Manchester United iaitu Harry Maguire.

Ini kerana pemain England itu dikatakan mempunyai sisi negatif serupa dengan pemain kelahiran Pasir Puteh, Kelantan tersebut.

Kerap menerima sindiran dan kecaman di laman media, aksi longlai yang sering dipamerkan pemain kelahiran England itu di atas padang mula disamakan dengan Yusri dengan kedua-duanya dilabel sebagai pemalas ketika dalam permainan.

"Malas serupa Harry Maguire Kelantan, Yusri tu bermain di posisi pertahanan tengah, jurulatih letak dia di bahagian kanan memang tak menjadi la dia," kata Jayfie Ramzione.

Antara aksi cemerlang dipamerkan Yusri ketika menjaringkan gol pada musim lalu.

Untuk rekod, Yusri Yushamadi pada musim lepas dilantik sebagai ketua pasukan meskipun usianya baru sahaja 23 tahun ketika itu.

Menerima pemberian sebidang lot tanah daripada pemilik pasukan, Norizam Tukiman pada musim lalu, insentif itu dihadiahkan atas jasa dan kecemerlangan pemain itu bersama pasukan sebagai penghargaan buatnya dirinya.

Enggan dibuai kejayaan lalu, penyokong sebaliknya mengharapkan agar Yusri terus berusaha untuk mengembalikan era kegemilangannya pada musim ini.

Bakal berkunjung ke Stadium Paroi, Negeri Sembilan pada 1 April depan, perlawanan menentang Negeri Sembilan FC semestinya menjadi tumpuan penyokong dengan tiga mata penuh menjadi buruan Kelantan untuk memperbaiki kedudukan di carta liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram