TINDAKAN melulu pemain Kuala Lumpur City (KL City) FC menjadi punca mereka gagal menterjemahan pertemuan dengan Kelantan FC dengan kemenangan, kata ketua jurutatihnya, Bojan Hodak.
"Kami bodoh, ini perasaan saya.
"Tanpa merendahkan Kelantan yang bekerja keras, tapi mereka mendapat dua gol daripada satu percubaan sahaja daripada tiada apa-apa.
"Selepas mendahului 2-0 dan 'membunuh' perlawanan, kami sebaliknya menyumbat dua gol buat mereka," katanya memetik laporan Stadium Astro.
Bojan Hodak — Facebook KL City FC
Dalam perlawanan pada Jumaat, Kelantan FC mengikat KL City 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, Kelantan.
Skuad Warga Kota mendahului seawal minit ke-11 hasil jaringan Tchetche Kipre dan Declan Lambert melebarkan kedudukan pada minit ke-34.
Begitupun, bekalan selesa itu tidak dipertahankan apabila mereka berputih mata dengan kebangkitan Kelantan menuju waktu rehat, selepas gol sendiri Kenny Pallraj dan Fazrul Amir Azman mengikat kedudukan perlawanan.
Dalam pada itu, Hodak berhasrat menggunakan kalendar FIFA ini untuk memperkemaskan barisan anak buahnya sempena bertemu Selangor FC pada 31 Mac depan.
"Kami akan menghadapi perlawanan 'derby' dan satu perlawanan penting.
"Saya harap beberapa pemain tercedera hari ini akan kembali.
"Kami cuma perlu terus fokus dan bekerja keras ketika jadual antarabangsa," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram