'Star in the making', bekas rakan sepasukan Arif Aiman diramal menyinar di Kelantan


  • Podium
  • Selasa, 14 Mac 2023

Muhaimin Izzuddin merupakan antara pelapis muda berbakat dimiliki skuad Kelantan FC. — Facebook/KelantanFC

MESKIPUN tewas 5-1 dalam aksi pertemuan dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, kelibat pemain muda Kelantan, Muhaimin Izzuddin telah mengubat duka penyokong menerusi gaya permainan menarik yang ditampilkan.

Dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-60 perlawanan, pemain tengah berusia 21 tahun itu berjaya mengubah rentak permainan dengan Kelantan mula mengatur beberapa serangan menerusi hantaran berbahaya pemain tersebut.

Kehadirannya jelas mengubah corak serangan anak didik Choi Moon-sik dengan Muhaimin bijak membuat lorongan bola kepada Ismaheel Akinade sekali gus menjadi punca kepada gol tunggal skuad The Red Warriors (TRW) dalam perlawanan tersebut.

Untuk rekod, pemain itu merupakan antara aset terbaik yang dimiliki TRW termasuklah ketika membantu pasukan berkenaan muncul sebagai naib juara di Liga Premier musim lalu.

Maka tidak hairanlah mengapa namanya kian menjadi sebutan selepas perlawanan berkenaan dengan rata-ratanya melihat pemain itu sebagai tunjang dan sandaran utama pasukan dalam perlawanan akan datang.

"'Star in the making,' corak permainan berubah lepas dia masuk, ada sinar buat skuad Kelantan perlawanan seterusnya nanti," kata Muhamad Nurawi.

"Berpotensi besar untuk pergi lebih jauh, mampu menyinar walaupun menentang kelab besar seperti JDT yang mempunyai ramai pemain bagus, tak hairan kalau Muhaimin ini diserap ke JDT pula," ujar Heho BossDell.

"Memang bagus budak ni, sama macam Arif Aiman, ada kelajuan dan berani pegang bola lama, kalau diberi pendedahan lebih mesti boleh meningkat permainan dia nanti," jelas Farhan Aqil.

auaio

Muhaimin Izzuddin dan Arif Aiman pernah mewakili pasukan futsal negara pada 2018.

Muhaimin sebelum ini merupakan bekas rakan sepasukan Arif dalam kejohanan futsal jemputan di Australia pada 2018 dan kedua-duanya mewakili pasukan Milo Futsal Malaysia.

Meskipun meraih perhatian ramai dalam perlawanan tersebut, Muhaimin mengakui masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dalam permainannya.

Dalam pada itu, sesetengah individu turut memasang impian untuk menyaksikan pemain itu dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan pada satu hari nanti dengan taktikal jurulatih Kim Pan-gon diyakini mampu menambah baik lagi mutu persembahan Muhaimin.

"Harap Pan-gon pantau persembahan Muhaimin dan beri dia peluang utnuk mewakili Harimau Malaya satu hari nanti, sayang kalau pemain muda berkualiti tidak diberikan peluang," jelas Kamaluddin Hassan.

Kelantan selepas ini bakal menerima kunjungan skuad KL City FC di Stadium Kota Bharu pada 17 Mac depan dan semestinya tiga mata penuh dimahukan oleh penyokong bagi kembali membaiki kedudukan di carta liga musim ini.

Selepas beraksi cemerlang sebagai pemain gantian, kelibat Muhaimin Izzuddin amat ditagih oleh penyokong yang mahukan pemain itu disenaraikan sebagai kesebelasan utama dalam saingan berikutnya nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram