EMPAT perlawanan yang sudah berlangsung dalam saingan Liga Super 2023 membuktikan beberapa pasukan masih belum bersedia untuk berada dalam divisyen teratas bola sepak tempatan.
Meskipun sudah melakukan persediaan sepanjang tempoh jendela perpindahan yang lalu, sebahagian ketua jurulatih sepertinya berdepan kesukaran mengadaptasi dengan gaya permainan Liga Malaysia.
Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat khabar angin bahawa salah sebuah pasukan bergelut difahamkan berminat untuk menggantikan pengendali mereka dengan bekas jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt.
Dia sebelum ini mempamerkan bakatnya ketika mengendali skuad The Lion Troops meskipun pasukan itu sedikit bergelut dalam kancah Liga Perdana.
Bagaimanapun, dengan pengalamannya cukup berharga itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmatnya bagi mengendalikan skuad Bawah 23 (B-23) Harimau Malaya pada tahun 2015 hingga 2017.
Ketika ini, khabar angin di media sosial kencang mengatakan jurulatih kelahiran Jerman itu bersedia untuk mengendalikan sebuah pasukan Liga Super seperti mana dilaporkan wartawan berpangkalan di The Star, T Avineshwaran.
Persoalannya, pasukan manakah yang sesuai untuk menggunakan khidmatnya dengan kemampuan beberapa pengendali masih belum berada di tahap terbaik selepas hanya empat perlawanan.
Berdasarkan pemantauan Majoriti, terdapat empat pasukan yang dilihat sesuai untuk mendapatkan khidmat Bernhardt bagi memastikan peluang mereka beraksi dengan baik dalam Liga Super musim ini.
1. Terengganu FC
Terengganu FC dilihat masih gagal cuba mencari rentak pada musim ini. — Facebook
Sudah empat perlawanan berlangsung dan skuad sang Penyu dilihat masih gagal cuba mencari rentak.
Pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu hanya meraih satu gol setakat ini, dan berada di tempat ketujuh carta Liga Super dengan kutipan empat mata.
Malah, penyokong mula berasakan taktikal yang digunakan oleh ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner mudah dibaca oleh pasukan lawan.
Lebih-lebih lagi, penyokong turut menyalahkan strategi yang digunakan oleh pengendali kelahiran Croatia merupakan punca skuad Sang Penyu tewas 0-2 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Februari lalu.
Sehubungan itu, ada dalam kalangan penyokong berharap agar Bernhardt menjadi ketua jurulatih pada pasukan kesyangan mereka itu agar dapat melakukan perubahan pada musim ini.
2. Kelantan FC
Skuad TRW dilihat masih mempunyai masalah komunikasi kerana menggunakan bahasa yang berbeza. — Facebook
Sentuhan jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik yang digembar gemburkan pada awal musim ini seakan-akan tidak menjadi buat skuad The Red Wariors (TRW) dalam saingan Liga Super musim ini.
Hal ini dipercayai berpunca daripada masalah komunikasi di antara pemain serta ketua jurulatih tersebut yang menggunakan bahasa yang berbeza.
Sebelum ini, penyokong juga pernah meluah pendapat pada pemilik kelab, Norizam Tukiman untuk tidak melantik jurulatih berumur 52 tahun itu tidak tepat dengan cabaran untuknya berkomunikasi bersama pemain.
Ini terbukti setiap kali perlawanan atau latihan, Moon-sik akan akan menggunakan khidmat penterjermah untuk berkomunikasi dengan pemain sekali gus menyebabkan skuad TRW mengalami masalah untuk menyusun strategi.
Justeru itu, TRW memerlukan seorang yang sudah mahir dalam selok belok bola sepak tanah air seperti Bernhardt untuk mengemudi 'kapal' pasukan sekiranya tidak mahu tenggelam pada musim ini.
3. Penang FC
Ketika ini Penang FC hanya menduduki kelompok tiga tercorot dengan pungutan dua mata daripada empat perlawanan. — Facebook
Penang FC boleh menggunakan khidmat jurulatih itu memandangkan ketika ini skuad Harimau Kumbang masalah bergelut dengan masalah prestasi kerana masih belum menunjukkan peningkatan berbanding musim lalu.
Ketika ini Penang FC hanya menduduki kelompok tiga tercorot dengan pungutan dua mata daripada empat perlawanan. Jika keputusan sama diraih sepanjang perlawanan musim ini, tidak mustahil pasukan itu akan berada di kedudukan terakhir carta seperti musim lalu.
Tambahan lagi ketika ini, pembantu jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira perlu menyiapkan Lesen Diploma Profesional AFC sementara pasukan itu dikendalikan oleh ketua jurulatih Chong Yee Fatt untuk musim ini.
Hanya selepas lesen itu berjaya diperoleh baru Penang FC mempertimbangkan semula perlantikan Manzoor sebagai jurulatih selepas dia menamatkan kursus kejurulatihan Diploma Profesional AFC terbabit.
4. Negeri Sembilan FC
Penyokong berasakan skuad Jang perlu melakukan sesuatu untuk mengubah rentak pada musim ini. —Facebook
Apabila saingan musim baharu bermula, sudah tentu cabarannya lebih getir dan begitu juga nasib yang menimpa dengan skuad Jang pada ketika ini. Berada di tangga ke sebelas carta Liga Super, penyokong berasakan pasukan kesayangan mereka itu perlu melakukan sesuatu.
Kehilangan sebahagian besar tonggak lama dalam skuad Negeri Sembilan FC menjadi antara punca pasukan itu bergelut untuk mengulangi rentak mereka seperti musim lalu.
Bagi sesetengah penyokong pula, mereka berasakan taktikal yang sedikit perlahan daripada ketua jurulatih, K Devan menjadi antara sebab di sebalik kesukaran itu.
Jadi, sekiranya pihak pengurusan kelab memilih untuk menggantikannya, Bernhardt merupakan antara calon terbaik dengan dia berpengalaman mengendalikan sebuah pasukan dengan bajet sederhana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram