KEKALAHAN besar yang dialami Kelantan FC di tangan Johor Darul Takzim (JDT) membuktikan masih terdapat pelbagai perkara perlu diperbaiki pasukan Pantai Timur itu.
Manakan tidak, keputusan yang dicatatkan itu menyaksikan mereka menduduki tangga kesembilan selepas hanya mengumpul tiga mata daripada empat aksi Liga Super.
Tetapi, mereka mempunyai peluang untuk menambah baik kedudukan berkenaan apabila menerima kunjungan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat.
Pertembungan yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan itu semestinya dinanti-nantikan penyokong The Red Warrior (TRW).
Ini kerana segelintir daripada mereka berasakan prestasi kurang memberangsangkan skuad Warga Kota merupakan peluang terbaik untuk anak-anak buah Choi Moon-sik mendapatkan kemenangan kedua musim ini.
Bojan merupakan salah satu watak utama di sebalik zaman kegemilangan Kelantan FA. — Agensi
Namun, bagi sebahagian besar penyokong Kelantan FC, perlawanan itu bakal menyaksikan kepulangan bekas pengendali mereka, Bojan Hodak ke stadium keramat itu.
Perkara tersebut diluahkan menerusi laman media sosial dengan mengatakan bahawa jurulatih kelahiran Croatia itu cukup penting dalam sejarah kelab itu.
"Dengan kehadiran penyokong kita yang ramai pada Jumaat, ini pasti membuatkan Bojan terpukau dengan stadium keramat kita kerana banyak kenangan indah dia di situ," kata Mengenal Diri.
"Semangat TRW, tidak kisahlah tiket berharga sehingga RM20 sekalipun kerana kami mahu tonton jurulatih Korea Selatan dan bekas pengendali kita, Bojan Hodak," kata Fairul Aziady.
Kerjaya Bojan dalam landskap bola sepak tanah air berkembang apabila dia dilantik pengendali TRW pada 2012 hingga 2013 selepas beberapa tahun berkelana di Asia Barat.
Magis Bojan masih dirasai sepanjang tiga tahun dia bersama KL City FC. — Agensi
Kehadirannya itu cukup dirasai apabila Kelantan FA ketika itu menjadi pasukan kedua Liga Malaysia meraih tiga trofi domestik semusim pada 2012 sebelum berpindah ke JDT pada 2014.
Pengendali berusia 51 tahun tersebut seterusnya menyambung khidmatnya dalam divisyen teratas bola sepak tanah air apabila dilantik sebagai ketua jurulatih KL City FC pada 2021.
Sepanjang tiga tahun bersama pasukan Lembah Klang itu, Bojan sekali lagi mempamerkan kehebatannya apabila menjulang trofi Piala Malaysia 2021 dan membawa mereka ke pentas akhir Piala AFC musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram