SELEPAS bangkit dengan mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Penang FC, skuad The Red Warriors (TRW) sekali lagi dimalukan ketika bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.
Kekalahan 1-5 yang dialami itu meletakkan Kelantan FC di kedudukan kesembilan Liga Super dengan sembilan mata dibezakan dengan pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT).
Bukan itu sahaja, pertemuan antara kedua-dua pasukan menyaksikan kelab Pantai Timur itu merekodkan jumlah gol dibolosi paling teruk berbanding 13 pasukan lain.
Ia pastinya menjadi satu luka tidak berdarah buat penyokong TRW yang sudah lama menantikan kepulangan pasukan ke divisyen teratas bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, tinjauan awal di media sosial mendapati isu tersebut tidaklah terlalu menggores hati mereka yang sanggup hadir ke Stadium Sultan Ibrahim untuk memberikan sokongan pada perlawanan tersebut.
Selain itu, dengan hanya empat perlawanan baru sahaja ditempuhi, pelbagai respons positif dilontarkan supaya tekanan tidak terlalu tinggi diberikan kepada pasukan.
Lebih menarik lagi, seorang penyokong menerusi laman Facebook Kelantan Pride and Soul tampil memberikan suntikan semangat buat anak-anak buah Choi Moon-sik.
"TRW tidak perlu tunduk malu kalah kepada JDT kerana tiga sebab. Pertama, kita bermain dengan memulakan empat pertahanan tempatan melawan tiga import berkualiti JDT," katanya.
Moon-sik pasti mahu segera bangkit untuk menambah baik kedudukan Kelantan FC. — Facebook/TRW Kelantan FC
Ketiadaan pemain kebangsaan Filipina, Carli de Murga sedikit sebanyak menjejaskan perancangan dibuat barisan kejurulatihan yang terpaksa menurunkan pemain tersisih, Yusri Yuhasmadi.
Selain itu, layangan kad merah kepada pertahanan kiri dari Argentina, Leonardo Rolon memburukkan lagi keadaan bagi naib juara Liga Perdana 2022 itu.
"Kita juga berjaya menembusi pintu gol Syihan (Hazmi) walaupun penalti, tetapi gerakan yang positif sehingga kita memperolehinya.
"Muhaimin Izzudin sepatutnya diberikan banyak peluang bermain dengan kualiti yang ada pada pemain ini," tambah penyokong berkenaan.
Dalam perlawanan itu, penyerang import TRW, Ismahel Akinade didapati diasak benteng pertahanan lawan yang memaksa pengadil, Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti.
Jaringan tersebut pastinya menjadi satu suntikan semangat buat pemain dan staf kejurulatihan Kelantan FC yang sebelum ini dikritik akibat ketumpulan jentera serangan.
Semantara itu, bagi Muhaimin pula, kemasukannya sebagai pemain gantian memberi kegembiraan buat penyokong sehingga ada yang berasakan bahawa bakat terpendamnya sudah semakin jelas.
Kelantan FC bakal menerima kunjungan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV sebelum Liga Super ditunda bagi memberi laluan kepada aksi persahabatan Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram