Bukan sahaja Goulon, ini 3 lagi pemain pernah 'sakit' berdepan JDT


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Goulon hanya beraksi dalam tiga perlawanan berdepan JDT sepanjang beberapa musim di Liga Malaysia. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KEMENANGAN besar 7-0 yang dicatatkan Johor Darul Takzim (JDT) ketika berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan pada 6 Mac lalu menjadi satu topik perbualan hangat.

Selain keputusan berkenaan menjadi catatan sejarah dalam Liga Super, aksi lemah longlai yang dipamerkan pasukan tuan rumah wajar diberi perhatian.

Manakan tidak, kealpaan benteng pertahanan skuad Jang menjadi punca ke atas kekalahan tersebut yang diburukkan lagi dengan kehilangan tonggak pasukan, Herold Goulon.

Dia yang dilaporkan cedera dalam pertembungan berkenaan menerima kritikan hebat daripada penyokong bola sepak tanah air kerana terlalu kerap menghadapi masalah sama.

Isu tersebut turut berlaku ketika pertembungan kedua-dua pasukan musim lepas yang mana JDT mengumpul tiga mata dalam kesemua aksi.

Lebih menarik lagi, perkara berkenaan turut berlaku ketika dia masih mewakili Sri Pahang, yang mana juga menjadi satu topik perbualan hangat.

Namun, sepanjang berada dalam arena bola sepak tanah air, bekas pemain Blackburn Rovers itu pernah beraksi berdepan skuad Harimau Selatan sebanyak tiga kali.

Peluang itu dilihat digunakan Goulon dengan cukup baik apabila dia menjaringkan dua gol yang mana ketika itu dia masih terikat bersama skuad Tok Gajah.

Menariknya, perkara tersebut tidaklah hanya berlaku terhadap Goulon apabila penyokong bola sepak tanah air juga pernah mengalami situasi sama dengan beberapa pemain lain.

Ini tiga pemain yang kerap dilaporkan mengalami kecederaan ketika berdepan JDT sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat setia bola sepak tanah air.

1. Ifedayo Olusegun (Melaka United)

Penyerang kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun pernah bergelar sebagai antara penyudah terbaik dalam Liga Super ketika bersama Selangor FC.

Dalam dua musim, dia pernah muncul sebagai penjaring terbanyak liga dengan 12 gol pada 2020 sementara 26 jaringan pula dicatatkan pada musim berikutnya.

Bagaimanapun, selepas tiga musim bersama kelab Lembah Klang itu, pemain berkenaan memilih untuk kembali menyertai Melaka United ketika jendela perpindahan 2022.

1738374

Adakah ketiadaan Ifedayo ketika bertemu JDT mempunyai maksud sebaliknya? Facebook/Melaka United FC

Walaupun bisanya di atas padang masih tidak luntur, kariernya bersama skuad Hang Tuah terpalit dengan kontroversi apabila dia tidak diturunkan ketika berdepan JDT.

Meskipun kedua-dua pasukan terikat ketika aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka pada pertembungan pertama, perlawanan di tempat lawan menyaksikan Melaka United tewas dengan keputusan 0-4.

Apa yang mencuri perhatian dalam isu itu adalah apabila Ifedayo yang sebelum itu menjaringkan tiga gol dalam tiga aksi Liga Super secara tiba-tiba dilaporkan tidak berada dalam keadaan baik.

Kehilangannya itu memaksa pihak pengurusan kelab menepis khabar angin yang mengatakan dia merupakan pemain JDT, namun dengan sengaja dipinjamkan ke Melaka United.

2. Endrick dos Santos (Penang FC)

Satu keputusan tepat buat kedua-dua pihak apabila JDT memilih untuk mendapatkan perancang kelahiran Brazil, Endrick dos Santos ketika jendela perpindahan yang lalu.

Dia yang musim lalu bersama Penang FC sememangnya seorang pemain tengah berkualiti dengan bakatnya sudah terserlah ketika Selangor FC dan Felcra FC.

Namun, tahukah anda bahawa pemain berusia 28 tahun itu juga pernah berdepan situasi sama seperti Goulon dalam beberapa siri pertemuan dengan JDT.

Musim lepas sahaja, pemain berkenaan ketinggalan tidak diturunkan dalam dua perlawanan menentang skuad Harimau Selatan dengan salah satunya disebabkan penggantungan.

Endrick-dos-Santos-Penang-FC-bukan-dipinjam-JDT

Endrick dilaporkan cedera setiap kali menentang JDT ketika berada di Penang FC. Facebook/Penang FC

Perkara itu sekali gus membangkitkan spekulasi bahawa dia merupakan pemain JDT sebelum perpindahannya diumumkan ketika jendela perpindahan yang lalu.

Bagaimanapun, dengan dia ketika ini sudah menjaringkan tiga gol Liga Super, sudah pastinya momen tersebut dilupakan hampir keseluruhan peminat fanatik bola sepak.

Tambahan pula, dia yang sudah beraksi lebih lima tahun dalam arena bola sepak tanah air membolehkannya menerima status naturalisasi.

Ia dilihat sebagai satu kelebihan buat pasukan kebangsaan dengan dia dilihat sesuai untuk dibawa ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk aksi Piala Asia 2023.

3. Carli de Murga (Kelantan FC)

Selepas hanya mencatatkan sembilan penampilan Liga Super musim lalu, Carli de Murga memilih untuk menyertai Kelantan FC pada penghujung jendela perpindahan yang lalu.

Berdasarkan beberapa laporan, perpindahannya ke Pantai Timur bukanlah dengan status pinjaman dengan JDT juga memiliki ramai pilihan di posisi berkenaan.

Namun, ketika pertembungan antara kedua-dua pasukan pada Sabtu, pengendali skuad The Red Warriors (TRW), Choi Moon-sik melaporkan bahawa dia tidak berada dalam keadaan kesihatan terbaik.

1975211

De Murga merupakan antara rekrut baharu Kelantan FC untuk musim 2023. Facebook/TRW Kelantan FC

Ia sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada penyokong yang seolah-olah kurang mempercayai bahawa perpindahannya ke Kelantan FC adalah secara tetap.

Perkara itu kerana dia beraksi dengan cukup baik dalam perlawanan sebelum itu, yang mana skuad TRW mencatatkan kemenangan ke atas Penang FC.

Khabar angin itu turut memaksa pemilik kelab, Norizam Tukiman terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa de Murga sememangnya mengalami kecederaan.

Ketiadaan bekas kapten Terengganu FC itu sedikit sebanyak memberi impak terhadap gaya permainan Kelantan FC yang tewas 1-5 dalam pertembungan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram