KELANTAN FC berjaya mengikat pasukan KL City FC dengan keputusan 2-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Skuad The City Boys memperoleh jaringan awal menerusi gol Tchetche Kipre pada minit ke-11 dan Declan Lambert (minit ke-34).
Namun Kelantan FC dapat mengejar semula selepas kesilapan pertahanan KL City FC, Kenny Palraj yang terjaring gol sendiri pada minit ke-41.
Bertitik tolak dari situ, skuad The Red Warriors (TRW) bagai mendapat suntikan motivasi dan terus memperkemaskan jentera serangan.
Tambahan lagi, kemasukan Fazrul Amir seawal babak pertama terus mengubah dinamik permainan apabila dia dilihat memberi impak positif di bahagian sayap.
Fazrul Amir berjaya mengubah dinamik permainan Kelantan FC. — Facebook
Pemain itu bukan sahaja mencetak gol kedua TRW malah membuatkan pertahanan skuad Warga Kota kucar-kacir hingga memaksa pasukan itu bermain dalam keadaan tertekan hingga wisel separuh mata ditamatkan.
Bersambung pada babak kedua, perlawanan seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan cuba menambah gol untuk menjarakkan kedudukan.
Kelantan FC terpaksa bermain seramai 10 orang buat seketika apabila Ikhwan Yazek mengalami kecederaan hingga memaksa dia dibawa keluar dengan stretcher.
Ikhwan dilihat cuba menahan kesakitan dan kembali masuk ke dalam padang namun baru saja memulakan langkah, dia kembali terbaring gara-gara kecederaan serius yang dialami.
Permainan diteruskan tanpa kemasukan pemain gantian namun anak-anak buah Choi Moon-sik menampilkan disiplin cukup tinggi selepas mempamerkan aksi cemerlang hingga wisel penamat.
Penyokong Kelantan FC, Zuraimi Zukri menyifatkan pasukan TRW memberikan persembahan cukup bertenaga lebih-lebih lagi dengan kemasukan Fazrul dan Ikhwan.
"Mereka tukar serangan Kelantan dari sendu kepada energetik tidak terkawal. KL City menjadi cukup kacau.
"Saya harap Kelantan menang kerana Fazrul tidak berhak untuk kalah malam ini. Apa yang paling menarik perhatian saya adalah kekuatan kaki kiri Ikhwan sangat luar biasa.
"Dua pemain ini ada elemen ginga. Satu hiburan baik untuk permainan bola sepak," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penyokong, Atif Siqdi berharap jurulatih tidak bereksperimen dengan pemain ketika perlawanan berlangsung kerana ia akan merugikan pasukan apabila pertukaran tidak boleh dibuat.
"Tolong jangan buat eksperimen macam tadi... merugikan team. Game ni patut Kelantan boleh menang tapi sebab bazirkan jadi apabila ada kecederaan, terus bermasalah. Nasib kita baik sebab tak dihukum di hujung perlawanan," katanya.
G-joe Anuar juga turut sependapat apabila taktikal Moon-sik mencuba pemain merugikan Kelantan.
"Empat game dah main, patut dah boleh tau siapa patut mula 1st eleven. Hujung-hujung hancur game sebab asyik nak rotate player," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram