JENDELA perpindahan Liga Malaysia (Liga M) yang hampir ditutup tidak beberapa lama lagi bakal menyaksikan semua pasukan bakal melengkapkan kesebelasan utama masing-masing.
Ini termasuk Sri Pahang FC yang sah mendapatkan khidmat pemain sayap, Nur Shamie Iszuan Amin selama dua tahun pada musim depan.
Berusia 27 tahun, Nur Shamie merupakan tonggak utama Sarawak United FC (SUFC) musim lalu, manakala dia juga antara pemain yang memperkuatkan Harimau Malaya di Piala AFF 2022.
Berdasarkan persembahan baik ditunjukkan Nur Shamie dalam kancah bola sepak, dia boleh disamakan dengan pemain legenda, Affendi Julaihi menerusi kelebihan-kelebihan berikut:
1) Lincah, licik
Aksi Nur Shamie (kiri) ketika perlawanan persahabatan bersama Kemboja pada Disember lalu.
Nur Shamie antara pemain dikenali sebagai lincah dan licik di atas padang.
Perkara itu dapat dibuktikan semasa aksinya mewakili Malaysia di pentas AFF 2022. Sepanjang diturunkan dalam kempen AFF, Shamie tidak mensia-siakan peluang itu dengan memberikan aksi terbaik dan mendapat kepercayaan Kim Pan-gon.
Hasilnya yang licik ketika mencuri bola daripada pihak lawan menjadikan Nur Shamie antara pemain yang menyinar pada kejohanan tersebut.
2) Tenang
Aksi Nur Shamie (jersi merah) ketika Sukan Sukma pada 2016.
Sepanjang diturunkan bersama skuad Ngap Sayot atau Harimau Malaya, Nur Shamie memiliki kualiti untuk bermain dengan cukup baik.
Ini termasuk kemampuan untuk kekal tenang setiap kali diberikan tekanan, seperti mana yang dapat diperhatikan ketika pertemuan antara pasukan kebangsaan menjinakkan Laos sebelum ini.
Dalam aksi berkenaan, Nur Shamie dilihat mudah untuk mengelirukan pihak lawan ketika memegang bola dengan gelecekan berhampiran kotak penalti lawan.
Selain itu, ketika situasi serangan, pemain tersebut juga menonjolkan kualiti itu dengan melakukan hantaran berbahaya kepada rakan sepasukan.
3) Fleksibel
Ketika bersama Sarawak United, Nur Shamie sering diberikan kepercayaan untuk beraksi sebagai pemain sayap kanan.
Bagaimanapun, dalam kempen Piala AFF 2022 bersama skuad kebangsaan, pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu bermain dengan cemerlang sebagai pertahanan kanan.
Ini menunjukkan bahawa Nur Shamie merupakan seorang yang cukup fleksibel dan ia merupakan satu kelebihan buat Sri Pahang FC jika skuad dilanda siri kecederaan pemain.
Selain itu, pengalaman yang dimilikinya untuk beraksi di kedua-dua posisi itu menjadikannya seorang pemain lebih lengkap, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
4) Mahal
Nur Shamie (kiri) ketika perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada Disember 2022.
Berdasarkan transfermrkt, nilai pasaran Nur Shamie boleh dikatakan agak mahal buat pemain tempatan, yang mana direkodkan berharga €150,000 (RM703,381).
Harga berkenaan membuktikan dia sememangnya bernilai dalam dunia bola sepak tempatan berdasarkan persembahan ditunjukkan sepanjang 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram