Bakal berentap di Stadium Cheras, 3 figura bakal curi perhatian fans KL City-Perak


  • Podium
  • Selasa, 17 Jan 2023

Stadium Cheras di Kuala Lumpur bakal menyaksikan pertembungan antara Perak FC dan KL City FC pada 4 Februari. — Facebook/KL City FC

SEPANJANG tempoh pra-musim Liga Malaysia 2023, beberapa pasukan dilihat kerap mengadakan aksi persahabatan untuk menguji kemampuan skuad di samping memastikan tahap kecergasan pemain berada di tahap terbaik.

Antara pasukan tersebut ialah Perak FC yang menggunakan masa lapang tersebut untuk menguji keupayaan ketua jurulatih, Lim Teong Kim serta wajah-wajah baharu pasukan.

Baru-baru ini, pasukan kedua tercorot Liga Perdana 2022 itu berdepan pasukan Liga M3, ATM FC di Stadium Bandaraya di Ipoh, Perak yang berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada The Bos Gaurus (TBG).

Walaupun terdapat jurang besar di antara kedua-dua pasukan dari segi reputasi dan kebolehan, ia tidak menghalang penyokong daripada terus memuji perubahan yang dilakukan setakat ini.

Namun, baru-baru ini, kelab tersebut sekali lagi mengorak langkah selepas mengadakan perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC.

Aksi yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari itu bakal diadakan di Stadium Cheras, Kuala Lumpur dan tentu sekali peminat setia kedua-dua pasukan tidak sabar untuk menyaksikan kemampuan pasukan masing-masing.

Bagi skuad Warga Kota, kegagalan untuk terus menempatkan diri dalam pentas Asia memaksa mereka untuk melakukan pelaburan besar-besaran sepanjang jendela perpindahan.

Ini termasuk membawa masuk beberapa pemain import seperti Sean Ginelli dari Sri Pahang FC, sementara bekas penyerang Selangor FC, Herlison Caion juga berjaya disambar.

Bagaimanapun, di sebalik nama-nama besar kedua-dua pasukan itu, penyokong pastinya berharap dapat memberi tumpuan kepada tiga figura yang dijangka memainkan peranan masing-masing sepanjang musim 2023.

1. Tchetche Kipre

Meskipun usianya sudah mencecah 35 tahun, penyerang kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre seakan-akan masih sukar untuk dibendung pertahanan lawan.

Ketika bersama Terengganu FC musim lalu, pemain tersebut meneruskan rentak berbisanya di hadapan pintu gol dengan menjaringkan 13 gol dalam 14 penampilan Liga Super.

Selain itu, pengalaman yang diraih sepanjang berbelas tahun kariernya menyebabkan barisan kejurulatihan memberikannya lilitan kapten untuk menyuntik semangat kepada rakan-rakannya.

325340638_1583213078784842_3007618089213980819_n

Kipre (kanan) merupakan rekrut baharu KL City FC untuk musim depan. Facebook/KL City FC

Tetapi, dengan perubahan ketua jurulatih pada hujung 2022, penyerang berketinggian 1.72m itu ditunjukkan jalan keluar sebelum KL City FC mengambil keputusan untuk mendapatkannya.

Kelibatnya pasti ditunggu-tunggu peminat setia kelab Lembah Klang itu selepas tanggungjawab di posisi berkenaan dipikul pemain kelahiran Colombia, Romel Morales untuk beberapa musim.

Setakat ini, Kipre dilihat sudah menyertai sesi latihan yang diadakan bagi membentuk keserasian bersama rakan sepasukan selain membolehkan ketua jurulatih, Bojan Hodak untuk membuat penilaian.

Jadi, perlawanan persahabatan menentang Perak FC tersebut pasti akan menjadi medan berbeza buatnya yang bercita-cita untuk sekali lagi membantu skuad Warga Kota melangkah ke pentas Asia.

2. Hadi Fayyadh

Ketika sesi pelancaran jersi baharu skuad TBG pada Jumaat, pihak pengurusan membuat kejutan dengan mengumumkan kehadiran pemain baharu, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Selepas memulakan kariernya bersama Johor Darul Takzim (JDT), pemain tersebut mengambil keputusan untuk berkelana ke Jepun bagi menyertai Azul Claro Numazu di divisyen ketiga negara tersebut.

Meskipun tidak kerap diturunkan, ia memberikan satu pengalaman berharga buatnya di samping membantunya membentuk struktur fizikal yang lebih tegap.

324936957_830888601331313_7202311779570500327_n

Hadi Fayyadh akan menambah kualiti jentera serangan Perak FC pada 2023. Facebook/Perak Football Club

Oleh itu, dengan Perak FC memerlukan sentuhan baharu dalam jentera serangannya, kehadiran Hadi diharapkan dapat membawa perubahan kepada juara Piala Malaysia 2018 itu.

Pertembungan bersama KL City FC dijangka menjadi medan percubaan pemain itu yang sudah terlalu lama tidak beraksi dalam senario bola sepak tempatan.

Selain itu, pihak pengurusan juga pastinya akan memberi tumpuan penuh terhadap penyerang berusia 22 tahun berkenaan selepas melakukan pelaburan besar ke atasnya.

Bagi Hadi pula, dia juga akan menggunakan peluang keemasan itu dengan beraksi sebaik mungkin bagi membolehkannya mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pilihan Teong Kim musim depan.

3. Lim Teong Kim

Walaupun sudah mengadakan beberapa aksi persahabatan, kredibiliti Teong Kim sebagai ketua jurulatih PerakFC dikatakan masih tidak dapat diuji dengan sebenar.

Hal itu kerana kebanyakan aksi tersebut merupakan pertembungan bersama kelab-kelab kerdil, seperti UiTM FC dan juara Liga M3 2022, PIB FC.

Namun demikian, keputusan perlawanan terbabit tidak memuaskan apabila skuad TBG kerap mencatatkan kekalahan atau kemenangan tipis.

322477141_492838896265977_3786028536540588193_n

Teong Kim akan mencuri tumpuan dalam perlawanan persahabatan itu. Facebook/Perak Football Club

Jadi, dengan pertembungan bersama KL City FC itu, penyokong pastinya menggunakan peluang itu untuk memerhatikan gaya permainan dan taktikal yang cuba diaplikasikan jurulatih kelahiran Melaka itu.

Meskipun Teong Kim dijangka tidak menurunkan kesebelasan utama terbaiknya, pihak pengurusan pasti melakukan penilaian untuk meletakkan sasaran logik ke atasnya.

Sementara itu, pengendali berusia 59 tahun tersebut juga dijangka mencuba sedaya upaya bagi membuktikan kebolehan dan pengalamannya sebagai salah seorang jurulatih terbaik negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram