SELEPAS bertahun-tahun menjaga gawang Johor Darul Takzim (JDT), status kapten pasukan, Farizal Marlias dalam kesebelasan utama akhirnya tergugat.
Hal tersebut adalah kerana prestasinya yang semakin merudum dengan kerap melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga menyebabkan barisan kejurulatihan kurang yakin akan kemampuannya.
Oleh itu, dalam menggantikan pemain berusia 36 tahun tersebut, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk melakukan pelaburan dengan membawa masuk pemain kebangsaan, Syihan Hazmi.
Pemain yang berjaya menempa namanya sebagai salah satu penjaga gawang tempatan terbaik selepas membantu Negeri Sembilan FC menduduki tangga keempat Liga Super.
Selain itu, prestasi yang cemerlang ketika menyarung jersi Harimau Malaya turut melonjak namanya, termasuk membantu skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2023.
Prestasi Syihan membolehkannya dipanggil untuk mewakili Harimau Malaya.
Perkara itu pastinya membawa kegembiraan kepada penyokong Harimau Selatan, lebih-lebih lagi dengan usia Syihan yang membolehkannya terus mengawal gawang pasukan untuk beberapa tahun lagi.
Tetapi, terdapat juga segelintir peminat setia juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu yang masih berpendapat Farizal masih memiliki kredibiliti untuk mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama.
Hal tersebut dikongsikan seorang penyokong, Suara Selatan yang berpegang dengan pendapat bahawa pemain kelahiran Maran, Pahang itu mempunyai kelebihan tersendiri berbanding Syihan.
"Walaupun Syihan sah ke JDT, tetapi bagi aku, Farizal lebih layak 100 peratus untuk menjaga gawang kerana pandangan kita memang berbeza," katanya.
Pendapat itu turut dipersetujui beberapa yang lain, termasuk Md Rohaidi apabila gaya permainan Farizal lebih sesuai dan moden dengan pendekatan taktikal JDT.
Kedudukan Farizal sebagai penjaga gol utama JDT mula dipersoalkan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Farizal ini jenis penjaga gol yang boleh mengawal bola ataupun yang boleh kita katakan sebagai modern football goalkeeper manakala Syihan masih penjaga gawang biasa. Apa-apapun, kedua-dua mereka ada kelebihan masing-masing," katanya.
Selepas mencipta namanya bersama Selangor FC dan Perak FC, Farizal memilih untuk menyertai skuad Harimau Selatan pada 2015 ketika dia berada dalam kemuncak karier.
Keputusan berkenaan jelas membuahkan hasil apabila pemain berketinggian 1.78m itu berjaya mengumpul pelbagai koleksi kejuaraan, termasuk menjuarai Piala AFC 2015.
Bagi Syihan pula, kecemerlangan yang dinikmati ketika bersama skuad Jang pada 2022 membolehkannya dinobat sebagai penjaga gol terbaik ketika Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK2022). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram