SRI Pahang FC musim ini antara lain menandatangani Lucas Espindola, pemain import dari Brazil bagi mengharungi saingan Liga Super 2023.
Bekas peledak skuad Harimau Kumbang itu berharap kehadirannya di Sri Pahang FC dapat memberikan impak kepada pasukan yang kini di bawah bimbingan Fandi Ahmad.
Pemain berusia 32 tahun itu berkata, dia tidak sabar untuk memulakan perjalanan bola sepaknya di skuad Tok Gajah.
“Saya menerima tawaran itu (ke Sri Pahang FC) dua bulan selepas saya kembali ke sini pada September.
"Menyertai Sri Pahang FC adalah langkah tepat kerana mereka merancang sebuah skuad yang hebat untuk musim 2023.
“Kelab ini menandatangani pemain tempatan dan asing yang bagus. Ia bagus kerana saya juga boleh belajar dan mendapat manfaat daripada mereka. Kami akan mempunyai 'senjata' yang lebih baik untuk musim akan datang," katanya.
Pengalaman Fandi sebagai penyerang dapat membantu Espindola. — Facebook
Bakat Espindola menarik minat beberapa kelab tempatan dan kelab lain di rantau Asia Tenggara tetapi pemain itu memilih untuk kekal di Liga Malaysia.
Bekas penyerang kelab Kitchee di Hong Kong itu melaporkan diri untuk latihan pramusim di Kuantan minggu lalu.
“Suasana di sini bagus. Saya rapat dengan semua orang dan menikmati perjalanan baharu ini,” katanya.
Menurut Espindola, Fandi seorang jurulatih yang baik dan pengalaman legenda bola sepak Singapura itu sebagai penyerang dapat membantu dirinya.
"Selain itu, Pahang juga ada legenda seperti Datuk Dollah Salleh, Jalaluddin Jaafar dan Ahmad Shaharuddin Rosdi.
“Jadi anda sentiasa belajar dan mendapat inspirasi. Sasaran saya adalah untuk menjadikan Sri Pahang FC sebagai pasukan yang tidak dapat dikalahkan seperti dulu.
“Saya juga mahu menjadi yang terbaik dalam setiap perlawanan, sama ada ia datang dalam bentuk gol, hantaran bola, bantuan gol atau work rate," katanya.
Antara pemain baharu Sri Pahang musim ini ialah Fadhli Shas, Syazwan Andik, Azril Nasrulhaq, Izham Tarmizi, Aqil Arazi, Lokman Bah Din, Adam Malique dan tiga tonggak import Michael Glassock (Australia) serta Stefano Brundo dari Argentina.
Mereka mengekalkan pemain sayap Abdul Malek Mat Ariff, pemain tengah Nor Azam Azih, bek tengah, Muslim Ahmad dan Nicholas Swirad, penjaga gol Zarif Irfan Shamsuddin, pemain tengah, Baqiuddin Shamsuddin dan Sergio Aguero. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram