Azraai Khor 'approve' 2 daripada 3 import, masih terlalu awal menilai


  • Podium
  • Isnin, 16 Jan 2023

Antara pemain import baharu Kedah musim 2023. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC musim ini dilihat cukup agresif dalam melakukan rombakan besar-besaran ketika jendela perpindahan pertama yang sedang berlangsung ini.

Selain membawa masuk beberapa pemain tempatan, skuad Sang Kenari juga tidak melepaskan peluang untuk menandatangani bintang import bagi membantu memperkukuhkan dan kembali menjadi pasukan yang digeruni dalam kancah Liga Super 2023.

Setakat ini seramai lima pemain import yang berjaya dipikat oleh pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu dan mereka adalah Willian Lira Sousa, Bojan Ciger, Manuel Ott, Amirbek Jurobaev, Alan Robertson serta pemain lincah, Manuel Hidalgo.

Kemasukan wajah-wajah baharu itu menjadi harapan buat penyokong yang berharap agar skuad Hijau Kuning tidak menjadi pasukan belasahan pada saingan liga musim ini.

Antara tonggak import baharu KDA FC itu, penyerang berbisa dari Brazil, Willian Lira menjadi sebutan dan diramal bakal menjadi 'mesin pencetak gol' buat Sang Kenari kelak.

WhatsApp Image 2023-01-15 at 20.25.01

Willian Lira menjaringkan satu gol, sekali gus membantu KDA FC benam Perlis United 4-0 dalam perlawanan persahabatan. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Penyerang import itu dilihat beraksi cemerlang pada perlawanan persahabatan pramusim menentang kelab amatur, Perlis United selepas menjaringkan satu gol buat skuad Hijau Kuning.

Berbeza dengan penyokong, bagi bekas jurulatih berpengalaman Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berpendapat kehebatan seorang pemain import tidak boleh diukur selagi saingan liga belum bermula.

Azraai Khor berkata, penyokong tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi kepada seorang pemain import kerana risau ia hanya akan mengecewakan jika mereka gagal memberikan persembahan terbaik.

"Macam mana tahu pemain import itu bagus? Mereka belum buktikan apa-apa lagi.

"Jangan ulang macam sebelum ini. Awal musim letak harapan tinggi tiba-tiba menjunam, merosot," katanya kepada Majoriti.

Tambah pengendali berusia 70 tahun itu, Azraai Khor bersetuju jika penyokong meletakkan harapan tinggi kepada Ott dan Hidalgo kerana diketahui pengalaman mereka beraksi di kancah Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini.

WhatsApp Image 2023-01-15 at 20.25.31

Bagi Azraai Khor, penyokong boleh meletakkan jangkaan tinggi kepada pemain yang berpengalaman dalam kancag Liga M seperti Hidalgo. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Ott merupkan bekas pemain Terengganu FC yang berjaya membantu pasukan itu ke Piala AFC 2022, manakala Hidalgo pula merupkan tonggak utama Sri Pahang selama dua musim.

"Jika Manny Ott dan Hidalgo saya setuju sebab dah tengok mereka main dengan pasukan sebelum ini.

"Tapi yang baru ini jangan sembang dulu. Dia tak tahu apa-apa," ujarnya.

Untuk rekod, penyerang tersebut sebelum ini berkhidmat dengan kelab divisyen dua Jepun, Ventforet Kofu.

Sepanjang dua musim beraksi bersama Kofu, selain membantu kelab tersebut memenangi trofi Piala Emperor 2022, Willian Lira turut menjaringkan 18 gol dalam 70 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram