SELEPAS hanya mampu menamatkan kempen Liga Super 2022 di tangga ketujuh, pihak pengurusan Sri Pahang FC memilih untuk tidak mengekalkan khidmat ketua jurulatih berpengalaman, Datuk Dollah Salleh.
Meskipun kehadirannya serba sedikit membawa perubahan terhadap skuad, beberapa edisi kekalahan yang memalukan di samping desakan penyokong menyebabkan keputusan itu diambil.
Ini termasuk penyingkiran awal skuad Tok Gajah ketika aksi 16 pasukan Piala Malaysia, yang mana pasukan tersebut tewas di tangan Terengganu FC 9-3 secara agregat.
Oleh itu, pengganti yang dirasakan bersesuaian wajar diambil, lebih-lebih lagi dengan Sri Pahang FC perlu memulakan sesi latihan pra-musim untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain.
Namun, dalam beberapa hantaran sepanjang dua bulan sebelum ini, pihak pengurusan seakan-akan sengaja memberi gambaran bahawa penasihat teknikal, Fandi Ahmad akan mengendalikan pasukan itu.
Fandi (tengah) diumumkan sebagai pengendali baharu Sri Pahang untuk musim 2023. — Facebook/Sri Pahang FC
Hal itu kerana jurulatih kelahiran Singapura itu kerap kelihatan di padang latihan sambil memberikan arahan kepada pemain tanpa kelibat Dollah.
Perkara itu akhirnya disahkan pada Sabtu apabila hantaran di laman Facebook rasmi Sri Pahang mengatakan Fandi akan memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Dollah.
"Sesi latihan pagi skuad Sri Pahang FC bimbingan Ketua Jurulatih Fandi Ahmad di Padang Taman Gelora," tulisnya.
Keputusan itu pastinya sedikit sebanyak menggembirakan penyokong Tok Gajah kerana pengendali berusia 60 tahun itu tidaklah terlalu kekok dalam landskap bola sepak tanah air.
Ini kerana dia pernah membantu kelab Singapura, Lions XII menjulang trofi Piala FA pada 2015 di samping mempunyai pengalaman mengendalikan Johor Darul Takzim (JDT) pada 2012.
Bagaimanapun, hal itu bagaikan tidak menyuntik sebarang kegembiraan dalam kalangan penyokong yang merasakan pihak pengurusan masih tidak melakukan sebarang perubahan dari segi fasiliti pasukan.
Sri Pahang pernah bercadang untuk mendirikan pusat latihan sendiri. — Facebook/Sri Pahang FC
"Tak berubah lagi rupanya kerana pusat latihan masih di Taman Gelora. Aduii. Upgrade la buat gim dan bilik persalinan pakaian untuk pemain dan jurulatih," kata Fauzi Hanafiah.
"Buatlah kolam untuk tujuan pemulihan dan kalau boleh, buatlah padang berbumbung untuk sesi latihan ketika cuaca yang tidak mengizinkan," kata MarzQi Ashary.
"Pusat latihan di Padang Taman Gelora 2 perlulah ditambah baik supaya kelihatan gah dengan pasukan Sri Pahang, sekurang-kurangnya bagi nampak seperti padang latihan Manchester United di Carrington, England," kata Faizal Abdul Latiff, berseloroh.
Sebelum ini, juara empat kali Piala Malaysia itu pernah bercadang untuk menubuhkan sebuah kompleks latihan sendiri pada 2021, namun ia masih tiada perkembangan setakat ini.
Kekurangan itu dilihat serba sedikit menjejaskan persiapan skuad Tok Gajah dalam setiap perlawanan sehingga mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penyokong.
Hal itu juga pernah mencetuskan kritikan bekas pengendali, Thomas Dooley yang kecewa dengan kekurangan kemudahan itu sehingga disamakan dengan kelab divisyen lapan Jerman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram