Luka kehilangan Lucas bakal terubat, penyerang muda HM 'otw' ke Penang


  • Podium
  • Ahad, 15 Jan 2023

Haqimi Azim melakukan debutnya bersama pasukan bersama pasukan kebangsaan pada kempen Piala AFF 2022. — Instagram/HaqimiAzim

SEHINGGA kini, penyokong Penang FC masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa bekas penyerang berbisa skuad Harimau Kumbang, Lucas Silva menyarung jersi pasukan Sri Pahang FC pada musim ini.

Sri Pahang FC mengumumkan penyerang kelahiran Brazil sebagai salah seorang bintang import yang akan mengisi kuota sembilan import yang dibenarkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada tahun ini.

Penghijrahan Lucas ke pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu masih menjadi luka buat penyokong terutamanya selepas mereka melihat pemain berusia 32 tahun itu meledak beberapa gol dalam perlawanan pramusim skuad Tok Gajah.

Dalam perlawanan persahabatan menentang YPM FC di Padang Gelora pada Jumaat, Lucas berjaya membuatkan penyokong Penang FC cemburu dengan pasukan Tok Gajah apabila menyumbat empat gol.

Bagaimanapun, luka penyokong Harimau Kumbang nampaknya akan terubat berikutan khabar angin penyerang muda pasukan kebangsaan akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Lucas.

Pemain yang dimaksudkan ialah tonggak dari Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli.

Berita yang bakal membawa kegembiraan kepada peminat Harimau Kumbang itu mulai timbul apabila pemain berusia 20 tahun tersebut memuat naik gambar di Insta Story berserta kapsyen 'Off to Penang'.

WhatsApp Image 2023-01-15 at 16.31.58

Tangkap layar Insta Story Haqimi Azim. — Instagram/HaqimiAzim

Perkongsian gambar berkenaan membuatkan peminat menimbulkan spekulasi bahawa pemain yang kian meningkat naik itu memilih Penang FC sebagai destinasi seterusnya.

Namun begitu, perkongsian gambar dari pemain kelahiran Selangor itu masih belum dapat menjelaskan perkara sebenar kerana berkemungkinan Haqimi Azim cuma dalam perjalanan untuk bercuti di Pulau Pinang.

Sekalipun Penang FC serius untuk mendapatkan pemain Harimau Malaya itu, skuad Harimau Kumbang perlu menebus kontraknya bersama pasukan Warga Kota.

WhatsApp Image 2023-01-15 at 18.04.56

Haqimi Azim menjadi antara pemain muda yang kian meningkat naik musim ini. — Instagram/HaqimiAzim

Hal ini kerana, difahamkan Haqimi Azim masih mempunyai baki kontrak bersama KL City dan Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu, Stanley Bernard juga menegaskan sudah mempunyai rancangan awal untuk pemain tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, pasukan KL City tidak akan menandatangani mana-mana penyerang tempatan dalam memastikan pemain berusia 19 tahun mendapat minit permainan yang cukup untuk mengembangkan lagi potensi dimilikinya.

Nama Haqimi Azim semakin dikenali selepas mempamerkan debut cemerlang bersama pasukan kebangsaan bagi pada Piala AFF 2022 baru-baru ini.

Malah, Haqimi juga meledak gol pertamanya bersama Harimau Malaya ketika Malaysia membelasah Laos 5-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jika Penang FC berjaya memikat Haqimi Azim, ia boleh dikatakan sebagai pelaburan jangka panjang yang baik kerana usianya yang muda dan potensinya menjadi 'mesin gol' buat Penang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram