LIGA Super pada musim ini pasti rancak sejak jendela perpindahan dibuka pada Disember tahun lalu.
Masakan tidak, setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) sudah tentu menyusun strategi sama ada mengekalkan pemain sedia ada, mahupun menerima penyertaan pemain baharu bagi menguatkan benteng masing-masing.
Selangor FC antara pasukan yang menarik perhatian ketika ini, yang mana setakat ini pasukan itu berjaya mendapatkan tiga pemain.
Nama pertama yang diumumkan adalah pertahanan kiri, V Ruventhiran yang sebelum ini pernah bermain bersama skuad kebangsaan.
Selain itu, pertahanan tengah, Khuzaimi Piee atau Jimmy turut diumum berkhidmat bersama Selangor selepas memutuskan untuk meninggalkan Negeri Sembilan FC.
Malah, skuad Gergasi Merah juga berjaya mendapat khidmat bekas penyerang Terengganu FC, Faisal Halim atau Mickey.
Terbaharu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu menambah seorang ubi muda dari Selangor FC 2.
Menerusi laman Facebook rasmi Selangor FC, penyerang muda, Izwan Yuslan secara rasmi diumum diserap masuk ke dalam pasukan utama terbabit.
Penglibatannya ke dalam skuad utama pastinya bakal menambah kualiti Selangor FC, yang sebelum ini berdepan dengan pergelutan pada musim lepas.
Berikut merupakan tiga faktor Izwan dijangka bakal mengikut jejak langkah legenda Selangor dan Harimau Malaya, Allahyarham Mokhtar Dahari:
1) Berjaya bawa Malaysia U19 sebagai juara AFF
Aliff Izwan menyumbang kemenangan Piala AFF B-19 pada tahun lalu. — Selangor FC
Nasib Alif Izwan di Indonesia dilihat memberi tuah kepadanya apabila dia menunjukkan persembahan memberangsangkan di negara jiran itu.
Julai lalu, Malaysia merangkul kejuaraan AFF Bawah 19 (B-19) dengan menundukkan Laos 2-0 dalam aksi final di Stadium Patriot Candrabhaga, Indonesia.
Dalam perlawanan itu, Aliff Izwan menyumbang gol kedua buat Harimau Muda.
2. Debut Harimau Malaya ketika usia muda
Aliff Izwan melakukan debut pada usia muda ke skuad senior. — FAM
Meskipun baru berusia 18, Aliff Izwan berjaya menambat hati ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya dalam persiapan menghadapi Piala AFF 2022.
Pemain tersebut telah menarik perhatian Pan-gon ketika skuad Harimau Malaya mengadakan sesi latihan bersama dengan skuad B-23 kebangsaan kendalian E. Elavarasan pada 30 November dan 1 Disember lalu, serta perlawanan latihan membabitkan kedua-dua pasukan pada 2 Disember lalu.
Bukan itu sahaja, selepas berakhirnya kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan selama 10 hari sejak 27 November lalu, Elavarasan selaku ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan dan juga penolong jurulatih Harimau Malaya turut memberi cadangan kepada Pan-gon untuk penyenaraian pemain ini ke skuad senior.
3. Menerima pujian pengendali kelab
Pujian Cheng Hoe terhadap Aliff Izwan. — Selangor FC
Bakat dan kebolehan ditunjukkan oleh Aliff Izwan ternyata turut mendapat kepercayaan daripada pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe.
Ia dilihat apabila Cheng Hoe memuji pemain muda tersebut menerusi satu kenyataan.
"Izwan merupakan pemain yang berpotensi tinggi untuk masa depan.
"Beliau memiliki kemahiran individu dan teknikal yang membawa lebih variasi kepada barisan serangan kita," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram